June 28, 2015

Berpisah tiada

Kota Bharu: Takdir Allah SWT satukan pasangan suami isteri ini untuk hidup bahagia dan ketentuan Allah juga membawa kasih sayang sejati mereka hingga ke akhir hayat.

Itu yang berlaku kepada pasangan Hasan Che Noh, 100, dan isteri, Zahrah Mahmood, 68, dari Kampung Bukit Marak, di sini, yang meninggal dunia dalam tempoh hanya berbeza 15 jam, di sini, semalam.

Hasan menghembuskan nafas terakhir jam 7.30 malam kelmarin manakala Zahrah menyusul pemergian ‘kekasih hatinya’ itu pada jam 10 pagi semalam ketika jenazah Hasan sedang dikafankan.

Menurut anak warga emas itu, Mohd Zamri, 35, mereka sembilan beradik sangat menyanjung tinggi ibu bapa mereka yang ibarat pasangan sehidup semati.

“Sebelum ini, ibu pernah menyatakan akan mengikut ayah jika ayah pergi menghadap Ilahi kerana tidak mahu bersendirian, selain rasa cintanya kepada ayah.

“Kami tak sangka apa yang diucapkannya itu benar-benar berlaku dan hari ini (semalam) kami kehilangan kedua-duanya sekali dalam tempoh berbeza hampir 15 jam saja.

“Sedih tidak terkata lagi, tapi kami reda kerana ayah dan ibu berpisah tidak lama. Mereka bersatu di syurga,”katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Mohd Zamri berkata, bapanya tidak mengalami sebarang penyakit, cuma tidak boleh bergerak selepas terjatuh di bilik air seminggu lalu.

“Ibu pula yang menghidap angin ahmar selama lima tahun semakin tenat dalam tempoh seminggu kebelakangan ini.

“Selepas ayah meninggal dunia, keadaan ibu semakin tenat dan kami tidak menyangka selepas itu ibu pula menyusul mengikut arwah ayah,”katanya.

Ketika ditanya mengenai sebarang perubahan, anak keenam daripada sembilan beradik itu berkata, empat hari sebelum ayahnya meninggal dunia, dia sempat memegang tangan ibu ketika masing-masing dalam keadaan terlantar sakit dan tidak dapat bergerak.

“Ketika itu air mata bapa dan ibu mengalir seolah-olah seperti mereka ‘bermaafan’ antara satu sama lain,”katanya.

Ketika masih hidup, ibu dan bapa menjalani kehidupan seperti pasangan suami isteri normal yang lain.

“Mereka seperti pasangan bahagia lain dan mungkin sudah tiba ajal mereka untuk ‘pergi’ tinggalkan kami bersama-sama,”katanya.

Namun, katanya, ibu sangat menyanjungi ayah dan memang akan mendahulukan suaminya itu dalam apa juga hal.

Jenazah suami isteri ini dikebumikan bersebelahan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Marak.

myMetro 12 Jun 2015


0 comments:

Post a Comment