May 25, 2015

Tragedi di bilik tidur


Pelajar perempuan ditemui mati dalam keadaan tergantung dengan beberapa kesan hirisan di lengan

MUKAH: Seorang pelajar perempuan tingkatan enam atas sebuah sekolah menengah di sini ditemui mati di bilik tidur rumahnya di Kampung Tellian Tengah di sini pada kira-kira jam 2 petang semalam.

Mayat mendiang ditemui bapa saudaranya dalam keadaan tergantung dan lengan sebelah kirinya luka dengan beberapa kesan hirisan.

Ibu mendiang, 40-an, ketika ditemui di pusat forensik Hospital Mukah semalam berkata, tiada masalah keluarga berlaku di rumah sebelum kejadian tragis itu.

“Namun, sebelum kejadian mendiang dimarahi bapa saudaranya selepas menemui teman lelakinya bersembunyi di dalam selimut di atas katilnya pagi tadi (semalam),” kata ibu mendiang.

Menurutnya lagi, mendiang tidak pergi ke sekolah pagi semalam disebabkan hujan lebat dan dia tidak menyangka bahawa anaknya ditemui bersama seorang lelaki dipercayai rakan sekolah di dalam biliknya, lalu ditegur.

“Bapa saudaranya berasa ada sesuatu yang tidak kena berlaku dalam bilik mendiang kerana sehingga jam  1.50 petang, dia tidak keluar. Kami bertindak memecah pintu bilik dan mendapati dia tidak bernyawa lagi.

“Keluarga kami tidak mengizinkan sebaran mana-mana gambar mendiang di laman Facebook atau sebarang aplikasi Internet untuk mengelak keluarga mendapat malu,” katanya lagi.

Mayat mendiang dibawa ke Hospital Mukah untuk urusan pemeriksaan doktor dan dibawa semula ke kediamannya di Kampung Tellian Tengah untuk pengebumian.

Ketua Polis Daerah (KPD) Mukah ASP Jimmy Panyau yang dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan ia dilaporkan ahli keluarga di Ibu Pejabat Polis Daerah Mukah.

Pihak polis mengklasifikasikan kejadian itu sebagai mati mengejut.

Utusan Borneo 14 Mei 2015

0 comments:

Post a Comment