May 26, 2015

Selimut tersangkut di pagar

Sungai Siput: Tiga pelatih Pusat Serenti Perlop, di sini, melarikan diri awal pagi semalam, dipercayai dengan memanjat pagar pusat pemulihan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Wan Jamil Wan Chik, berkata ketiga-tiga pelatih berkenaan dipercayai melarikan diri ketika semua pelatih lain keluar mengerjakan solat subuh antara 5 dan 6.30 pagi.

Menurutnya, pusat pemulihan itu menyedari kehilangan pelatih berkenaan selepas menemui kain selimut tersangkut pada pagar di bahagian belakang Pejabat Pentadbiran pusat terbabit, 7 pagi semalam.

"Pelatih yang melarikan diri dikenali sebagai Mohd Sobri Abd Manaf, 32, Shahizuan Ahmad Saad, 28 dan Mohd Firhan Norizan, 23.

"Usaha mengesan ketiga-tiga pelatih terbabit giat dijalankan sejurus polis menerima laporan mengenainya, namun sehingga hari ini masih gagal ditemui," katanya, di sini, hari ini.

Wan Jamil turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau ternampak kesemua pelatih terbabit agar menghubungi balai polis berhampiran.

myMetro 25 Mei 2015

0 comments:

Post a Comment