May 25, 2015

Pemuda maut kemalangan selepas jumpa rakan

BANTU: Pasukan perubatan HUS memberi bantuan awal kepada mangsa.

KUCHING: Tanpa disangka, pertemuan seorang pemuda dengan rakan-rakannya pada malam kelmarin (Sabtu) ternyata yang terakhir apabila dia terkorban dalam kemalangan di Jalan Batu Kawa di sini, awal pagi semalam.

Menurut sumber, mangsa dalam perjalanan balik ke rumah selepas bertandang ke rumah rakan apabila terbabas lalu terlanggar sebuah papan tanda di seberang stesen minyak bersebelahan dengan sebuah kolej kejururawatan.

Insiden itu bagaimanapun hanya disedari seorang penunggang motosikal yang kebetulan melalui jalan tersebut sekitar jam 2.30 pagi selepas mendapati objek pelik di tepi parit.

Mangsa yang dikenal pasti sebagai Leo Ramos Daou dari Taman Sri Emas, Jalan Batu Kawa ditemui dalam keadaan terbaring dan ditindih motosikal.

Difahamkan, mangsa masih bernafas ketika dijumpai.

Pihak ambulans tiba di tempat kejadian tidak lama kemudian selepas menerima panggilan kecemasan untuk membawa mangsa ke Hospital Umum Sarawak bagi menerima rawatan lanjut.

Mangsa yang dimasukkan ke Zon Merah disahkan meninggal dunia sekitar jam 9 pagi akibat cedera parah di kepala.

Mayat mangsa dihantar ke rumah mayat HUS untuk bedah siasat.

Utusan Borneo 18 Mei 2015

0 comments:

Post a Comment