May 25, 2015

Pemandu kereta tidak sedar seret mangsa hampir 50 meter

KUCHING: Seorang penunggang motosikal diheret hampir 50 meter selepas dilanggar sebuah kereta di Batu 8 Jalan Penrissen di sini, lewat malam kelmarin.

Menurut saksi, mangsa berusia 21 tahun dan berasal dari Kampung Bayur, Padawan menunggang sebuah motosikal dalam perjalanan pulang dari kerja iaitu sekitar jam 11.30 malam.

Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu seorang wanita melanggar motosikal mangsa menyebabkan mangsa tercampak dari atas motosikal dan terperosok di bawah kereta tersebut.

“Pemandu kereta tersebut tidak mengetahui mangsa terperosok di bawah keretanya dan terus memandu menyebabkan mangsa diheret dan kereta tersebut hanya berhenti kira-kira 50 meter dari tempat kejadian,” kata saksi.

Difahamkan juga, mangsa yang terperangkap di bawah kereta tersebut hanya berjaya diselamatkan sekitar 15 minit selepas kejadian.

“Mangsa terperangkap di tengah-tengah bahagian bawah kereta dan hanya berjaya dikeluarkan selepas kereta tersebut dijek naik dengan bantuan orang awam,” katanya.

Mangsa yang mengalami kecederaan di beberapa anggota badannya itu telah dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.

Sehingga berita ini ditulis semalam, mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil namun masih dirawat di HUS.

Siasatan pihak polis berhubung kemalangan tersebut juga masih dijalankan.

Utusan Borneo 16 Mei 2015

0 comments:

Post a Comment