May 25, 2015

Pekerja ladang maut tertusuk mata sabit

SIBU: Seorang pekerja ladang sawit menemui ajal selepas dada kirinya tertusuk mata sabit ketika bekerja memangkas pelepah di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Kampung Kuala Matu, lapan kilometer dari Pekan Matu pagi kelmarin.

Mangsa dikenali Pasuni, 24, berasal dari Bojonegoro, Kepulauan Jawa, Indonesia baharu empat hari bekerja di sebuah ladang kelapa sawit tersebut.

Ketika kejadian jam 9.30 pagi, mangsa bersama tiga pekerja lain (warga Indonesia) melakukan kerja-kerja memangkas pelepah kelapa sawit.

Mangsa dipercayai maut selepas dada kirinya tertusuk mata sabit terjatuh melantung ke arahnya ketika menarik pelepah.

Menurut tiga rakan sekerjanya berada di situ, mangsa meraung dan mereka sempat melihatnya memegang galah dan darah terpercik dari dadanya.

Seorang mandur kebetulan berada tidak jauh dari situ bergegas mengangkat mangsa yang masih bernafas serta dibantu tiga pekerja lain ke sebuah van ke Klinik Desa, Kuala Matu.

Setiba di klinik jam 9.45 pagi, mangsa sudah tidak sedarkan diri dan terus diberi rawatan kecemasan.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh penolong perubatan tidak lama kemudian.

Mangsa meninggal dunia kerana mengalami kecederaan parah di bahagian dada kiri akibat tusukan objek tajam menembusi paru-paru selain mengalami patah dua tulang rusuk.

Penyelia projek ladang berkenaan dikenali Terence, 27, memberitahu mangsa masih bujang baharu bekerja di situ selama empat hari.

“Saya difahamkan mangsa ada memakai topi keselamatan ketika bekerja, tetapi malang ajalnya sudah tiba,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Daro untuk bedah siasat.

Ketua Balai Polis Matu-Daro, DSP Wagner Lisa Libut ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut.

Utusan Borneo 24 Mei 2015

0 comments:

Post a Comment