May 25, 2015

Nahas ubah hidup ibu tunggal


NORAWAZNI YUSOF

 Nahas ubah hidup ibu tunggal
Chean Chung menyalurkan sumbangan wang tunai RM4,500 kepada Siew Moi.

KUANTAN – Dia pernah menikmati kehidupan sebagai manusia normal namun kemalangan yang berlaku pada Julai tahun lalu meragut kesempurnaannya sekali gus mengubah sama sekali hidupnya.

Daripada seorang ibu yang cergas dan menjadi tonggak harapan keluarga, Sim Siew Moi, kini terpaksa berkerusi roda seumur hidup susulan kecederaan pada tulang belakang dan kakinya.

Selepas kemalangan itu, Siew Moi terpaksa menggunakan kerusi roda bagi meneruskan rutin kehidupan biasa dan dia bagaikan tidak dapat menerima hakikat dirinya kini tidak lagi seperti dahulu.

Lebih menyedihkan, kemalangan itu juga membuatkan tulang belakangnya patah dan kakinya mengalami kecederaan sehingga menyebabkan pergerakannya terbatas serta sukar untuk menggerakkan anggota badan secara normal.

Melihat rakannya menjalani kehidupan seperti biasa membuatkan hatinya sedikit terusik dan pernah terlintas di benaknya mengapa dia perlu berdepan dengan keadaan itu.

“Saya sedih dengan keadaan sekarang. Kalau dahulu saya bekerja tapi kali ini segala-galanya telah berubah dan saya terpaksa bergantung harap kepada individu lain untuk terus hidup.

“Semangat saya hampir hilang saat pertama kali membuka mata selepas kemalangan itu apabila saya gagal menggerakkan kaki dan kesedihan itu bagaikan berganda apabila doktor beritahu saya tidak dapat berjalan,” katanya.

Siew Moi terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya apabila sebuah kereta terbabas dan merempuhnya.

“Saya mahu bantu ibu untuk cari rezeki lebih-lebih lagi saya anak sulung. Terasa bersalah pula melihat ibu terpaksa melupakan hasratnya untuk mencari kerja hanya kerana mahu menjaga saya,” katanya.

Katanya, dia turut membuat permohonan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memberi bantuan bulannya bagi membantu meringankan beban ditanggung.

“Permohonan telah dibuat dan saya harapkan permohonan tersebut dapat segera diluluskan oleh pihak JKM,” katanya.

Dalam pada itu, Siew Moi turut mengucapkan ribuan terima kasih atas keprihatinan Adun Semambu, Lee Chean Chung kerana sudi menghulurkan bantuan berbentuk wang tunai kepadanya.

“Saya akan menggunakan wang yang diberikan sebaik mungkin dalam memenuhi keperluan seharian saya,” katanya.

Sementara itu, Chean Chung berkata sumbangan ini diberikan sebagai tanda keprihatinan dan selain menunaikan tanggungjawab kepada masyarakat.

“Kita amat simpati dengan nasib yang menimpa Siew Moi dan kita akan membela nasib golongan sebegini.

“Hari ini kita sumbangkan wang tunai RM4,500 hasil sumbangan orang ramai yang berjaya kita kumpulkan,” katanya

Beliau berkata, mengenai permohonan Siew Moi untuk mendapatkan bantuan JKM, beliau sebagai wakil rakyat akan berjumpa pihak berkenaan agar mempercepatkannya.

“Kita mahu Siew Moi dapat pembelaan yang diperlukan,” katanya.

Sinar Harian 25 Mei 2015

0 comments:

Post a Comment