May 25, 2015

Maut kereta ditembus penghadang jalan

REMUK TERUK: Besi penghalang jalan menembusi kereta dalam nahas di KM89 Jalan Betong-Sarikei, awal pagi semalam.

BETONG: Seorang penumpang belakang maut dan seorang lagi cedera parah apabila kereta dinaiki mereka terbabas dan melanggar besi penghadang jalan dalam kemalangan di KM89 Jalan Betong-Sarikei berdekatan simpang Spaoh, awal pagi semalam.

Dalam kejadian pada jam 3 pagi itu, pemandu Peter George Labut, 58, bersama isteri Susan Badong Jack Brodie, 44, dan Busu Georga Labut, 54, dikatakan dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis pra-Gawai di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Ajau dekat sini menuju ke Merbung, Dulang, Debak.

Ketika melalui kawasan kejadian, kereta dipandu Peter dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke sebelah kanan jalan menyebabkan besi penghadang jalan menembusi cermin hadapan hingga ke bahagian belakang kenderaan itu.

Kemalangan itu menyebabkan isterinya yang juga penumpang bahagian belakang maut di tempat kejadian, manakala penumpang di hadapan cedera parah dan Peter dilaporkan tidak cedera.

Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Betong untuk rawatan, manakala mangsa  parah dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) Kuching.

Ketua Polis Daerah (KPD) Betong, Deputi Superintenden Aidil Bolhassan yang dihubungi mengesahkan kejadian tersebut. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, dalam kemalangan maut di Bintulu, seorang lelaki warganegara Pakistan berusia lingkungan 20-an terbunuh setelah motosikal ditungganginya merempuh sebuah kereta Perodua Alza yang membelok ke seberang simpang masuk Taman Permaisuri di Jalan Sebiew sekitar jam 9 malam kelmarin.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan bergerak laju sebelum merempuh bahagian tepi kereta berkenaan hingga menyebabkan motosikalnya terpelanting ke kanan bahu jalan.

Mangsa yang belum lagi diketahui identitinya meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan serius di bahagian kepala, leher dan bahagian belakang badan.

Menurut sumber, mangsa dikatakan seorang penjual kain dan pakaian yang kerap menjalankan perniagaan menggunakan motosikal itu.

Utusan Borneo 24 Mei 2015

0 comments:

Post a Comment