May 25, 2015

Maut angkara enjin terlebih kuasa kuda


TRAGIS: Mangsa dikejarkan ke HUS untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia selepas itu.

INI DIA: Pegawai bomba menunjukkan enjin 15 kuasa kuda yang digunakan untuk bot berkenaan semasa kejadian tersebut.

KUCHING: Kelajuan membunuh apabila sebuah bot baharu dibeli yang dipasang enjin melampaui had kelajuan melambung dan berpusing menyebabkan seorang nelayan terbunuh selepas tercampak dari atas bot berkenaan semalam.

Kejadian yang menimpa Annuar Solihin, 53, berasal daripada Kampung Paroh itu berlaku di Sungai Sarawak berdekatan Jambatan Satok sekitar jam 10 pagi.

Difahamkan, mangsa semasa kejadian sedang menguji bot yang baharu dibelinya dengan memasang enjin 15 kuasa kuda yang dikatakan tidak sesuai untuk bot berkenaan.

“Enjin yang dipasang pada bot itu tidak sesuai kerana terlalu kuat (15 kuasa kuda) sedangkan ia hanya sesuai untuk enjin berkuasa sekitar lapan hingga 10 kuasa kuda sahaja.

“Ekoran itu, dia (mangsa) gagal mengawal bot tersebut apabila ia berpusing dengan laju disebabkan faktor enjin yang kuat sehingga menyebabkan dia (mangsa) tercampak dari atas bot,” kata sumber.

Menurut rakannya Zakaria Abu Bakar, mangsa dikatakan bertarung nyawa hampir 10 minit untuk naik semula ke atas bot tetapi gagal kerana bot tersebut masih bergerak menyukarkannya berbuat demikian.

“Dia pandai berenang, namun selepas 10 minit cuba untuk naik semula ke atas bot, dia kelihatan lemah dan hanya berpaut pada bot sahaja lalu kami semua segera menyelamatkannya,” katanya.

Selepas berjaya diselamatkan, mangsa yang sudah tidak sedarkan diri diberi bantuan kecemasan oleh pihak bomba sebelum dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS), namun disahkan meninggal dunia beberapa jam kemudian.

“Bomba memberi rawatan awal sementara menunggu ketibaan anggota paramedik dan mangsa yang tidak sedarkan diri diserahkan kepada pihak ambulans untuk dihantar ke HUS.

“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital selepas itu,” kata Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Farhan Sufyan Borhan.

Difahamkan, mangsa baharu membeli bot tersebut daripada Zakaria dan semalam mereka mengujinya di sungai berkenaan sebelum pulang ke kampung mangsa.

Mangsa meninggalkan seorang isteri serta empat orang anak.

Mayat mangsa dihantar ke rumah mayat HUS untuk bedah siasat dan kemudian dituntut oleh ahli keluarga untuk upacara pengebumian.

Utusan Borneo 15 Mei 2015

0 comments:

Post a Comment