May 26, 2015

Juruterbang dirompak geng berparang

Bangi: Seorang juruterbang sebuah syarikat penerbangan diikat tangan sebelum ditutup kepalanya dengan baju oleh sekumpulan tiga perompak dipercayai warga Indonesia

Dalam kejadian jam 3.30 pagi kelmarin, penjenayah bersenjatakan parang bertindak menceroboh masuk ke banglo milik mangsa di Bandar Baru Bangi di sini.

Difahamkan mangsa sedang tidur di bilik tingkat atas kediamannya sebelum dikejutkan tiga suspek lelaki dipercayai warga Indonesia.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, suspek dikesan menceroboh masuk rumah mangsa dengan mengumpil tingkap belakang dapur banglo dua tingkat itu.

Menurutnya, suspek kemudian mengugut mangsa supaya tidak melawan sebelum mengikat tangan serta kaki mangsa.

“Suspek turut menutup muka mangsa menggunakan baju.

“Dia kemudian menggeledah rumah mangsa dan melarikan beberapa barangan peribadi milik mangsa termasuk telefon bimbit, dua jam tangan serta wang tunai yang keseluruhannya berjumlah RM2,000,” katanya.

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun tidak dicederakan dalam kejadian itu dan suspek melarikan diri selepas 10 minit menggeledah rumahnya.

“Siasatan polis di rumah mangsa mendapati kawasan itu tidak mempunyai pengawal keselamatan selain rumah juga tidak memiliki kamera litar tertutup (CCTV).

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

myMetro 26 Mei 2015

0 comments:

Post a Comment