May 24, 2015

Guru tahfiz maut bertembung treler

FOTO ihsan PDRM

Kuala Krai: Seorang guru tahfiz maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan treler di Kilometer 105, Jalan Kota Bharu-Gua Musang, Sungai Sam di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 6 pagi itu, mangsa Afif Asyraf Yahya, 28, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Seorang lagi saudaranya, Amiruddin Nawi, 29, dikejarkan ke Hospital Kuala Krai untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun pemandu treler itu tidak mengalami kecederaan.

Mangsa dipercayai baru pulang dari Kuala Lumpur selepas menyaksikan perlawanan akhir Piala FA.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Krai Deputi Superintendan Mohd Azlan Abdul Kadir berkata, ketika kejadian si mati yang memandu kereta Perodua Viva dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu.

Katanya, bagaimanapun apabila tiba di lokasi kejadian keretanya hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan treler dengan muatan kelapa sawit.

"Treler itu yang cuba mengelak bagaimanapun terjatuh ke dalam gaung di sebelah kiri jalan.

"Kemudian kereta jenis Perodua Alza melanggar belakang kereta Perodua Viva mangsa.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

myMetro 24 Mei 2015


Tak sempat lihat anak sulung

JENAZAH Allahyaham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kubang Kachang. Gambar kiri, isteri arwah sebak mengenangkan anak di dalam kandungannya sebaik jenazah suaminya tiba di rumah.

Kota Bharu: “Ibu ada berpesan kepada Afif Asyraf supaya membatalkan hasrat menyaksikan perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur,” kata Norzila Yahya, 48, kakak kepada Afif Asyraf Yahya, 28, yang maut dalam kemalangan membabitkan kereta dipandu dengan sebuah treler.

Dalam kejadian jam 6 pagi semalam, mangsa, Afif Asyraf meninggal dunia serta merta di kilometer 105, Jalan Kota Bharu-Gua Musang, Laloh, Kuala Krai.

Mangsa yang cedera parah di kepala dan badan dihantar ke Hospital Kuala Krai (HKK) sebelum dituntut ahli keluarga untuk pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kubang Kachang di sini, jam 2.30 petang semalam.

Seorang lagi sepupu mangsa, Amiruddin Nawi, 29, turut cedera parah dan dikejarkan ke hospital sama untuk rawatan kecemasan.

Norliza berkata, emaknya menghalang adiknya ke Kuala Lumpur berikutan isteri Afif Asyraf sedang sarat mengandung anak sulung dan dijangka bersalin dalam tempoh masa terdekat.

myMetro 25 Mei 2015

0 comments:

Post a Comment