May 25, 2015

Dugaan lepas solat

Bangi: Seorang peniaga emas kerugian lebih RM120,000 selepas enam keping emas serta wang tunai dilarikan pemandu peribadinya ketika berhenti solat di sebuah masjid di Bandar Baru Bangi, di sini.

Dalam kejadian jam 6 petang , Khamis lalu, mangsa berusia 35 tahun bersama rakannya singgah di masjid berkenaan bagi menunaikan solat Asar.

Mangsa meninggalkan semua barangan termasuk telefon bimbit, kepingan emas serta wang tunai berjumlah RM20,000 di dalam kereta bersama pemandunya yang menunggu di pekarangan masjid.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, sebaik keluar dari masjid 15 minit kemudian mangsa mendapati kenderaannya tiada di luar masjid

“Rakan mangsa juga kehilangan dua telefon bimbitnya yang turut ditinggalkan di dalam kenderaan itu. Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Bandar Baru Bangi, ” katanya.

Beliau berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati tiada kamera litar tertutup dipasang di kawasan berkenaan selain usaha menghubungi semua nombor telefon bimbit mangsa turut gagal.

Menurutnya, suspek berusia 25 tahun dikatakan baru dua bulan bekerja dengan mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan 379 Kanun Keseksaan.

myMetro 25 Mei 2015

0 comments:

Post a Comment