April 19, 2015

Tiga penjenayah maut ditembak

Kesan tembakan pada cermin hadapan kereta Honda Accord yang dinaiki tiga penjenayah berkenaan, semalam.

IPOH – Polis Perak berjaya menumpaskan tiga penjenayah yang dikehendaki dan merampas dua senjata api dalam kejadian berbalas tembakan di Jalan Kompleks Sukan, Kampung Simee di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, ketiga-tiga lelaki terbabit ditembak mati selepas dikejar sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (JSJN) bersama Pasukan Khas dan Jenayah Terancang (STAFFOC) Bukit Aman.

Menurut sumber, identiti seorang lelaki yang berusia 20 an telah dikenal pasti manakala dua lagi dalam siasatan berikutan tidak menemui sebarang dokumen pengenalan pada mayat terbabit.

Difahamkan, sepasukan polis cuba memintas kenderaan jenis Honda Accord yang dinaiki ketiga-tiga lelaki berkenaan sebelum berlaku kejadian berbalas tembakan.

Dipercayai kesemua penjenayah terbabit sangat dikehendaki membabitkan beberapa kes samun da rompakan sekitar bandar raya ini serta beberapa kawasan lain.

Kejadian itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar melalui akaun Twitternya dan dua senjata api berjaya dirampas dari kenderaan suspek.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Osman Salleh dijangka mengadakan sidang media berhubung kejayaan itu pada jam 9 pagi, hari ini.

Sinar Harian 1 Apr 2015


Kejam tak terhingga

Ipoh: Tiga penjenayah yang ditembak mati dalam kejadian berbalas tembak dengan polis di Kampung Simee, di sini, petang kelmarin disifatkan sebagai kumpulan penjenayah ganas yang melakukan kegiatan samun hingga sanggup mencedera dan membunuh mangsa jika ditentang.

Ketua Polis Perak Datuk Osman Salleh berkata, beberapa kes membabitkan kumpulan penjenayah berkenaan sebelum ini mendapati ada mangsa yang cedera parah akibat ditetak serta ada juga mangsa yang cuba dibunuh serta dilarikan ketika disamun.

Menurutnya, modus operandi utama mereka adalah menyasarkan wang tunai yang dibawa mangsa termasuk gaji pekerja atau ketika mangsa mengeluar dan memasukkan wang di bank.

“Kumpulan ini aktif menyamun di sekitar Ipoh dan Sungai Siput, dekat sini sejak hujung tahun lalu dan ada beberapa kes di mana kumpulan ini menyamun wang gaji pekerja restoran makanan segera.

myMetro 2 Apr 2015

0 comments:

Post a Comment