April 19, 2015

Sangkut celah batu

ANGGOTA bomba membawa naik mayat mangsa yang dipercayai dibunuh di kawasan simpang Sungai Long, Bandar Mahkota Cheras.

Kajang: Mayat seorang lelaki berusia lingkungan 30-an dijumpai tersangkut di celah batu di sungai berdekatan simpang Sungai Long, Bandar Mahkota Cheras di sini, malam Jumaat lalu.

Mayat yang hampir reput itu dijumpai jam 8.40 malam dalam keadaan terlentang dengan muka sudah hampir menjadi tengkorak oleh orang awam sebelum memaklumkan kejadian itu kepada polis.

Anggota polis kemudiannya meminta bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Kajang sebelum mayat berjaya dibawa naik dari sungai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab yang mengesahkan kejadian itu berkata, hasil pemeriksaan forensik di lokasi kejadian tidak dapat mengesan kesan kecederaan pada mangsa berikutan mayatnya hampir reput.

“Mayat kemudiannya dibawa ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat. Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan hentakan di kepalanya,” katanya.

Beliau berkata, polis percaya mangsa adalah warga asing berikutan tiada kesan suntikan BCG pada lengannya.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

myMetro 31 Mac 2015


0 comments:

Post a Comment