April 25, 2015

Pukul pelajar sekolah


Pukul pelajar sekolah Rakaman video menunjukkan seorang pelajar lelaki yang masih berpakaian sekolah dipukul yang menjadi viral di Facebook.

SEREMBAN – Polis menahan empat lelaki termasuk seorang pengawal keselamatan kerana disyaki terlibat dalam kes pukul membabitkan seorang pelajar lelaki sebuah sekolah menengah di Ampangan, yang videonya tersebar di laman Facebook.

Rakaman video berdurasi 1.40 minit itu menunjukkan bagaimana mangsa ketika itu masih berpakaian sekolah didatangi sekumpulan lelaki yang kemudian memukulnya.

Berdasarkan rakaman itu mangsa dipukul pada bahagian kepala dan muka dengan menggunakan payung selain turut ditumbuk.

Difahamkan video terbabit dirakam oleh rakan sekolah mangsa yang menyaksikan kejadian itu dari dalam kawasan sekolah.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, mangsa merupakan pelajar tingkatan lima sekolah berkenaan dan kejadian ini berlaku pada Rabu lalu kira-kira jam 5 petang selepas waktu persekolahan.

“Namun mangsa hanya membuat laporan di Balai Polis Rahang semalam (kelmarin) dan kes ini menjadi viral di laman Facebook.

“Berdasarkan keterangan mangsa, ketika dia berada di luar kawasan sekolah secara tiba-tiba didatangi enam lelaki termasuk pengawal keselamatan sekolahnya yang kemudian terus memukulnya,” katanya.

Menurutnya, suspek memberitahu tidak berpuas hati mengenai perbuatannya bersama rakan terhadap pengawal keselamatan sekolah tersebut yang juga merupakan bapa kepada salah seorang suspek.

Muhamad Zaki berkata, mangsa bagaimanapun tidak mengalami kecederaan teruk dan hanya lebam pada bahagian muka.

“Berdasarkan keterangan mangsa dan rakaman video tersebut kita telah menahan empat suspek berusia antara 21 hingga 58 tahun termasuk pengawal keselamatan berkenaan.

“Ujian saringan terhadap keempat suspek adalah negatif dan mereka tiada rekod kesalahan lampau. Namun dua lagi suspek masih dikesan dan semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya.

Sinar Harian 25 Apr 2015


Saja cari pasal

MANGSA dipukul di kepala menggunakan tangan dan payung.

Seremban: Seorang penuntut Kolej Vokasional Ampangan, di sini, cedera di kepala akibat dipukul sekumpulan enam lelaki termasuk pengawal keselamatan kolej itu dan anak lelakinya.

Kejadian berlaku jam 5.05 petang Rabu lalu menyebabkan mangsa berusia 17 tahun itu mengalami lebam di kepala dan dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban.

Difahamkan kejadian itu sempat dirakam rakannya sebelum video berdurasi satu minit 40 saat itu dimuat naik dan tersebar di laman sosial Facebook serta YouTube pada hari sama.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, susulan laporan dibuat mangsa kelmarin, polis melakukan siasatan lanjut dan berjaya memberkas empat daripada enam suspek berusia 21 hingga 58 tahun termasuk pengawal keselamatan terbabit dan anaknya pada hari sama.

Beliau berkata, polis kini giat memburu dua lagi suspek berusia 32 dan 22 tahun bagi melengkapkan siasatan kes itu yang disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

“Siasatan awal dan berdasarkan kenyataan pengadu (mangsa) kejadian serangan itu dipercayai kerana perasaan tidak puas hati kumpulan suspek apabila pengadu dan rakannya dikatakan mengutuk pengawal itu.

“Kejadian berlaku selepas mangsa tamat belajar jam 5.05 petang apabila dia didatangi beberapa lelaki dan pengawal keselamatan itu yang terus memukulnya tanpa bertanya apa-apa.

“Selain menggunakan tangan, mangsa juga dipukul dengan payung di kepala sebelum suspek beredar,” katanya.

Muhamad Zaki berkata, empat suspek yang ditahan itu adalah pengawal keselamatan dan anaknya peniaga racun serangga masing-masing berusia 58 dan 27 tahun serta graduan kolej swasta berusia 27 dan 21 tahun.

Katanya, polis merampas pakaian, rantai besi dan sebuah kereta Myvi daripada suspek selain sudah merakam keterangan pengadu dan rakannya yang merakam video serangan itu bagi melengkapkan siasatan.

“Ujian saringan keempat-empat didapati negatif selain mereka tiada rekod jenayah lampau,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan negeri Datuk Kalsom Khalid berkata, pihaknya menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan lanjut berhubung kejadian.

“Saya difahamkan keluarga mangsa sudah buat laporan polis,” katanya.

myMetro 25 Apr 2015

0 comments:

Post a Comment