April 19, 2015

Pemandu lori ditemui mati atas katil

A Virarajan

BAGAN SERAI - Seorang pemandu lori ditemui mati di atas katil di kediamannya di Taman Serai Perdana di sini, kelmarin.

Mayat A Virarajan, 47, ditemui pada jam 10 malam oleh isterinya, K Santhi, 43, dalam keadaan terbaring di atas katil bilik tidur utama sebelum segera menelefon pihak polis.

Santhi berkata, pada hari Jumaat minggu lalu, dia bersama tiga anaknya pulang ke kampung di Kuala Kangsar untuk menziarahi keluarga, manakala suaminya tinggal berseorangan di rumah.

Menurutnya, sewaktu dia pulang ke rumah pada jam 10 malam kelmarin, dia mendapati rumah berkenaan berkunci dari dalam.

“Saya segera membukanya dan terkejut mendapati suami ditemui terbaring dalam keadaan tidak bernyawa di atas katil bilik tidur kami,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, hasil siasatan mendapati mangsa mempunyai penyakit sawan.

Menurutnya, polis turut mendapati tiada kesan pecah masuk rumah mangsa atau unsur jenayah berlaku ke atas mangsa.

“Polis difahamkan mangsa sudah tidak bekerja selama beberapa bulan setelah menghidap penyakit sawan.

“Polis tidak menolak kemungkinan faktor kematian mangsa disebabkan sawan, namun siasatan masih dijalankan,” katanya.

Sinar Harian 4 Mac 2015

0 comments:

Post a Comment