April 19, 2015

Melayang tepi tali air

KEADAAN kereta milik Ahamad yang remuk akibat kemalangan, semalam.

Yan: “Saya terdengar bunyi brek dan diikuti dentuman kuat sebelum melihat kelibat seorang lelaki berada di tepi tali air dipercayai tercampak keluar dari kereta yang terbabas selepas terbabit dalam kemalangan.”

Begitu kata lelaki berusia 40-an yang melihat Pengurus Pembangunan Sekolah di Sekolah Rendah Islam Darul Ulum (SRIDU), Batu 3, Tandop, Alor Setar, Ahamad Shafiee, 61, maut selepas kereta Proton Perdana dipandunya bertembung dengan Proton Waja dalam kemalangan di Batu 14, Sungai Limau, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi, Ahamad meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala manakala pemandu Proton Waja berusia 35 tahun parah dan dirawat di Unit Kecemasan Hospital Yan, di sini.

Lelaki berkenaan yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian dia berhenti di bahu jalan kerana mahu menukar tayar keretanya yang pancit ketika dalam perjalanan pulang ke Sedaka selepas menghantar anaknya ke sekolah.

Menurutnya, belum sempat dia menukar tayar kereta, dia dikejutkan bunyi dentuman kuat dari arah jalan raya.

“Saya ternampak kereta Proton Perdana terbabas ke kiri jalan dan terjunam masuk ke Terusan Wan Mat Saman manakala kereta Proton Waja pula terbabas ke kanan jalan.

“Ketika itu saya menggeletar dan tergamam sebaik melihat kejadian itu, malah tidak berani menghampiri mangsa yang tercampak di tepi jalan lalu menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

myMetro 30 Mac 2015


0 comments:

Post a Comment