April 20, 2015

Mangsa tembak bukan sasaran

Georgetown: Seorang penarik kereta terpaksa ‘menumpang’ motosikal orang awam untuk mendapatkan rawatan di hospital selepas terkena tembakan dalam kejadian berhampiran pasar Jalan Patani, Sungai Pinang, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, mangsa berusia lingkungan 20-an terkena tembakan dilepaskan seorang lelaki yang sebenarnya tersalah sasaran kerana suspek sebenarnya mahu menembak rakan mangsa.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, suspek menaiki kereta serta melepaskan tembakan rambang dan terkena mangsa yang ketika itu berada di tepi jalan bersama rakannya.

“Siasatan mendapati kes berkenaan berlaku kerana suspek tidak berpuas hati dengan rakan mangsa yang dikatakan cuba menimbulkan kekecohan di sebuah pub, minggu lalu.

“Mereka kemudian bertemu untuk berbincang di pub sama awal pagi semalam, namun perbincangan itu berakhir dengan pertengkaran sebelum semua mereka beredar,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, suspek bagaimanapun masih tidak berpuas hati dan dia bersama sekumpulan lelaki lain yang menaiki tiga kereta mencari lelaki terbabit sebelum bertemunya yang ketika itu berada di tepi jalan kawasan pasar Jalan Patani.

“Suspek kemudian terus melepaskan tembakan namun tidak menepati sasaran dan tembakan itu terkena rakan lelaki itu di tangan kanan.

“Mangsa kini dilaporkan stabil dan menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Pulau Pinang (HPP),” katanya.

Menurutnya, polis sudah menjalankan siasatan lanjut dan mengenal pasti semua suspek terbabit serta percaya dapat menahan mereka dalam tempoh terdekat.

myMetro 6 Apr 2015

0 comments:

Post a Comment