April 28, 2015

Kepala dihentak besi pulang lewat

Ampang: Dipijak di dada, kepalanya dihentak dengan besi selain ditampar. Itulah penderitaan dilalui seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang dibelasah bapa kandungnya sendiri dalam kejadian di rumah mereka Lembah Jaya Utara, di sini, hanya kerana pulang lewat ke rumah.

Suspek ditahan pihak berkuasa di kawasan rumahnya kira-kira jam 10 pagi, 25 April lalu selepas isterinya berusia 33 tahun membuat laporan di Balai Polis Ampang.

Menurut sumber, sepanjang kejadian berkenaan, suspek turut dilapor memukul selain mengugut bunuh isterinya yang cuba menyelamatkan anaknya itu daripada dipukul.

Menceritakan semula kejadian, sumber itu berkata, insiden berkenaan bermula kira-kira jam 11 malam, 22 April lalu apabila suspek mengamuk sebelum memukul anak lelakinya yang pulang lewat ke rumah.

“Suspek pada mulanya menampar muka anaknya menyebabkan mangsa terjatuh. Dia kemudian memijak dada kanak-kanak terbabit selain mengetuk kepalanya dengan besi.

“Isteri suspek yang menyaksikan kejadian itu cuba menghalang suaminya, namun dia turut dipukul dengan besi selain diugut bunuh,” katanya yang memberitahu suspek bergegas meninggalkan kawasan berkenaan sejurus kemudian.

Sumber itu berkata, insiden berkenaan tidak berakhir di situ apabila suspek menghubungi isterinya kira-kira jam 10 malam, 24 April lalu mengugut membunuh isterinya jika menghalangnya memukul anak mereka.

“Wanita terbabit hanya mendiamkan diri kerana mahu mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Katanya, bagaimanapun kira-kira jam 1 pagi pada 25 April lalu, suspek pulang ke rumah dalam keadaan marah.

“Dia mengejutkan isteri dan anaknya itu sebelum memarahi mereka. Suspek dilapor cuba memukul anaknya itu, namun dihalang wanita berkenaan. Wanita terbabit dan suspek (suaminya) kemudian terbabit dalam pertengkaran lebih 30 minit.

“Pertengkaran itu hanya diselesaikan selepas polis tiba,” katanya memberitahu adik lelaki wanita terbabit menghubungi polis selepas diminta kakaknya.

Katanya, selepas polis beredar daripada rumah berkenaan, suspek sekali lagi mengugut membunuh isteri dan anak lelakinya itu.

“Wanita terbabit bergegas ke Balai Polis Ampang membuat laporan polis mengenai kejadian menimpa dia dan anak lelakinya itu,” katanya.

Susulan laporan, lelaki terbabit ditahan di kawasan rumahnya dan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

myMetro 28 Apr 2015

0 comments:

Post a Comment