April 19, 2015

Gagal elak kereta dihempap lori

ANGGOTA bomba mengeluarkan pemandu teksi yang tersepit selepas kenderaan dipandu bertembung lori.

Jeli: Seorang pemandu teksi nyaris maut apabila kenderaan dipandunya terbabas dan dihempap lori di Kilometer 95.5 Jalan Kota Bharu-Machang-Gerik dekat Kampung Lakota, di sini, semalam.

Kejadian berlaku 9.05 pagi menyebabkan Suhaimi Yahya, 57, cedera di rusuk, tangan kiri dan hidung kerana tersepit di tempat duduknya.

Dia dihantar ke Hospital Jeli sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu dan keadaannya dilaporkan stabil.

Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Mohd Yusoff Jaafar berkata, kemalangan dipercayai berlaku berikutan kegagalan mangsa mengawal kenderaannya dan memasuki laluan bertentangan.

“Mangsa dari Jeli menghala ke Tanah Merah hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan sebelum bertembung lori dipandu lelaki berusia 39 tahun.

“Lori berkenaan cuba mengelak namun bahagian sisinya terbalik dan menghempap teksi berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Katanya, mangsa yang tersepit dikeluarkan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Jeli.

Menurutnya, kes disiasat mengikut seksyen 43(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Jeli, Saadun Razali berkata, pihaknya menerima panggilan jam 9.09 pagi dan ke lokasi kejadian bersama lapan anggota serta satu jentera.

“Ketika tiba kami dapati mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu dan kami terpaksa menahan lori berkenaan daripada menghempap mangsa menggunakan alat khas,” katanya.

myMetro 30 Mac 2015

0 comments:

Post a Comment