April 19, 2015

Cari adik angkat hilang 32 tahun

Sowiah menunjukan geran yang perlu diselesaikan dan memerlukan kehadiran adiknya, Muhamad Shafie Samjo.

KUANTAN - Seorang warga emas, Sowiah Songjo, 68, berhasrat bertemu dengan adik angkatnya yang menghilangkan diri sejak 32 tahun lalu kerana mahu menyelesaikan masalah pembahagian tanah pusaka peninggalan arwah ibu mereka.

Menurutnya, adik angkatnya, Mohamad Shafie Samjo yang dipelihara sejak kecil oleh arwah ibunya, Ani Koming memang mendapat kasih sayang sepenuhnya daripada ibu dan bapa mereka.

Sowiah berkata, adik angkatnya meninggalkan keluarga mereka selepas dia tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mungkin sedih dengan kematian arwah ibu mereka.

“Kami buntu mencarinya di beberapa lokasi yang dikatakan pernah dia tinggal, tetapi tidak menemuinya malah tiada sebarang khabar berita mengenainya,” katanya.

Menurutnya, jalan terakhir ialah meminta kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan dimaklumkan tiada sebarang rekod kematian yang diterima.

Bagaimanapun, Sowiah mendakwa, dia pernah bertemu dengan rakan karib Mohamad Shafie sejak kecil yang memaklumkan adik angkatnya sudah meninggal dunia di Muadzam Shah.

“Kami tidak pasti sama ada maklumat berkenaan betul atau tidak tetapi jika dia masih hidup, saya berharap dia dapat pulang ke kampung untuk selesaikan masalah tanah pusaka ini,” katanya.

Katanya, kali terakhir dia bertemu dengan adik angkatnya pada 1996 ketika adik angkatnya pulang ke rumah beberapa minit sebelum menghilangkan diri dan tidak pernah kembali selepas itu.

“Kami tidak banyak bercakap ketika itu kerana dia memberitahu mahu mengikut tiga rakannya ke Thailand atau Kelantan. Saya dan adik beradik lain juga tidak menghalang hasratnya,” katanya.

Sowiah berkata, adik angkatnya tidak pernah mempunyai pekerjaan tetap selepas SPM dan hanya membantu penduduk melakukan kerja-kerja kampung untuk menampung kehidupannya.

Sebagai kakak, dia berharap adiknya dapat pulang ke pangkuan keluarga bagi menyelesaikan harta pusaka peninggalan ibunya.

Sinar Harian 9 Mac 2015

0 comments:

Post a Comment