March 28, 2015

Waris Ahmad Tajudin dicari

Ahmad Tajudin yang kini ditempatkan di Rumah Harapan Gulau, Sik, Kedah.

SUNGAI PETANI – Individu yang mengenali warga emas, Ahmad Tajudin Hashim, 69, yang hidup gelandangan diminta segera menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Daerah Kuala Muda, Mazmin Abdul Aziz berkata, terdapat laporan warga emas berkenaan menjadikan kaki lima restoran makanan segera di pusat bandar ini sebagai tempat berteduh.

"Tempat itu juga dijadikan tempat pengumpulan barangan kitar semula yang dikutipnya untuk dijadikan sumber pendapatan.

“Dia juga tidur dan berehat selain mengharapkan simpati makanan daripada orang awam di situ,” katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati, Ahmad Tajudin yang dikatakan berasal dari Tongkang Yard, Alor Setar berulang alik ke situ dengan menunggang basikal dan banyak menghabiskan masa di kaki lima.

"Tapi, bila kita tanya, dia enggan beritahu rumah dan ahli keluarganya yang terdekat.

"Dengan persetujuannya, kita tempatkan dia di Rumah Harapan Gulau, Sik, Kedah," katanya.

Dalam pada itu, katanya, usaha JKM menjejaki ahli keluarga Ahmad Tajudin juga tidak berhasil memandangkan dia tidak mengingati lokasi sebenar kampung halamannya.

"Jadi, kita harap mereka yang mengenali Ahmad Tajudin dapat menghubungi kami kerana bimbang dicari ahli keluarganya sedangkan dia telah ditempatkan di Sik.

"Kita minta, waris dapat datang ke Pejabat JKM Kuala Muda atau menghubungi talian 04-4204900/4901," katanya.

Sinar Harian 26 Mac 2015

0 comments:

Post a Comment