March 28, 2015

Video buli: Polis tunggu kebenaran mahkamah

Tiga pelajar dirakamkan bertengkar dan video itu menjadi viral dalam laman sosial.

TAPAH – Polis masih menunggu kebenaran mahkamah untuk menjalankan siasatan berkaitan kes buli yang didakwa melibatkan pelajar sebuah sekolah di Tapah yang menjadi viral dalam laman sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang guru yang melihat video melibatkan pelajar berusia 15 tahun dan dimuat naik dalam laman sosial, awal Mac lalu.

Menurutnya, ibu bapa pelajar terlibat turut dipanggil untuk membantu siasatan.

“Ibu kepada mangsa mengetahui kejadian tersebut menerusi laman sosial namun dia tidak pasti sama ada pelajar yang terlibat itu adalah anaknya.

“Kami masih tunggu kebenaran mahkamah untuk membolehkan Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah jalankan siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas sambutan Peringatan Hari Polis ke-208, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, di sini, semalam.

Video berdurasi 42 saat berkenaan memaparkan tiga pelajar perempuan bertengkar dengan mengeluarkan kata-kata kesat, malah berlaku adegan tampar -menampar di antara pelajar terbabit.

Sinar Harian difahamkan, pertengkaran yang berlaku awal Mac lalu itu berpunca daripada perebutan teman lelaki.

Som Sak berkata, siasatan berhubung kes itu akan dijalankan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain,  beliau berkata, IPD Tapah mencatatkan penurunan kadar indeks jenayah sebanyak 20 kes iaitu 242 kes pada 2013 kepada 222 kes bagi 2014.

“Saya percaya kita berjaya capai penurunan jenayah indeks signifikan ini hasil kerjasama masyarakat dan ia diharap berterusan,” katanya.

Sinar Harian 26 Mac 2015


Buli: Pelajar terlibat diberi amaran bertulis

TELUK INTAN - Susulan kejadian buli yang berlaku di sebuah sekolah di Tapah, amaran keras secara bertulis dikeluarkan pihak sekolah kepada pelajar terbabit.

Exco Kerajaan Negeri Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria berkata, keputusan itu dicapai selepas dua mesyuarat jawatankuasa disiplin dibuat sekolah tersebut untuk menyiasat insiden berkenaan.

Katanya, ketika mesyuarat 24 Mac lalu, pihak sekolah memanggil 13 pelajar terlibat untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, selain amaran keras secara bertulis, sesi kaunseling secara berterusan turut diberikan kepada pelajar berkenaan.

“Saya difahamkan kes ini sudah dilaporkan kepada pihak polis dan siasatan sedang dijalankan.

“Kami kesal kejadian seperti ini berlaku dalam kalangan pelajar,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw memaklumkan polis masih menunggu kebenaran mahkamah untuk menjalankan siasatan berkaitan kes buli yang didakwa melibatkan pelajar sebuah sekolah di Tapah yang menjadi viral dalam laman sosial baru-baru ini.

Video berdurasi 42 saat berkenaan memaparkan tiga pelajar perempuan bertengkar dengan mengeluarkan kata-kata kesat, malah berlaku adegan tampar  menampar antara pelajar terbabit dan kes itu akan dijalankan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Muhammad Amin berkata, beliau berharap siasatan menyeluruh dapat dijalankan supaya kes seumpama itu tidak berulang.

Sinar Harian 27 Mac 2015

0 comments:

Post a Comment