March 28, 2015

Tiada apa lagi yang tinggal

Khairuddin dan isteri melihat pakaian yang musnah dalam kebakaran kelmarin

KUANTAN - "Saya rasa tak sedap hati sejak awal pagi lagi. Tetapi nak buat macam mana, perkara sudah berlaku dan saya reda," demikian luah mangsa kebakaran, Khairuddin Hashim, 49, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pandan 1, di sini.

Ketika rumahnya terbakar kira-kira jam 11 pagi kelmarin, Khairuddin dan isteri, Sarimah Murad, 45, tiada di rumah kerana masing-masing berada di tempat kerja manakala lima anaknya ke sekolah.

Menurutnya, selesai menghantar dua anak ke sekolah di Sekolah Kebangsaan Pandan, dia rasa tidak sedap hati dan mengambil keputusan untuk pulang ke rumah.

"Biasanya selepas hantar anak, saya akan terus ke tempat kerja tetapi kelmarin, saya balik ke rumah dan termenung.

"Saya sendiri tidak pasti apa yang difikirkan namun hati saya dapatkan rasakan sesuatu akan berlaku," katanya.

Khairuddin berkata, dia yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di PAKR Sungai Pandan membuat keputusan ke tempat kerja namun 15 minit kemudian pulang ke rumah.

"Saya rasa berat hati nak pergi kerja, sebaik sampai di rumah, ada kawan ajak minum pagi dan kami ke Jaya Gading.

"Tidak lama kemudian, jiran menelefon saya memberitahu rumah saya terbakar. Ketika itu saya sudah hampir dengan rumah iaitu kira-kira 20 meter. Saya terkejut tengok ramai orang di kawasan rumah sebelum nampak bomba sedang padam api," katanya.

Khairuddin berkata, dia hanya mampu melihat rumahnya yang didiami sejak 20 tahun lalu hangus dijilat api.

"Tiada apa-apa yang dapat diselamatkan dan kami anak beranak tinggal sehelai sepinggang.

"Buat masa ini, kami menumpang di rumah bapa saya di sini," katanya.

Khairuddin berkata, kerugian dianggarkan kira-kira RM40,000.

Sinar Harian 27 Mac 2015

0 comments:

Post a Comment