March 28, 2015

Tak sempat buat kenduri tahlil

Orang ramai melihat api yang sedang marak membakar tiga rumah dalam kejadian di Kampung Beladau Kolam, petang kelmarin.

Azlan melihat barangan di dalam rumahnya yang tidak sempat diselamatkan dalam kebakaran di Kampung Beladau Kolam, Manir, petang kelmarin.

KUALA TERENGGANU - Hasrat sekeluarga untuk mengadakan kenduri tahlil selepas kematian ibu, Mariam Sulong, 72, yang meninggal dunia minggu lalu, tidak kesampaian apabila rumah pusaka dua tingkat didiami mereka musnah dijilat api dalam kejadian di Kampung Beladau Kolam, Manir, kira-kira jam 6.15 petang kelmarin.

Rumah berkenaan antara tiga rumah terlibat dalam kebakaran itu.

Menurut mangsa, yang juga menantu kepada Allahyarham Mariam, Azlan Yusof, 42, sebelum ini ibu mertuanya itu tinggal di rumah berkenaan dan menghembuskan nafas terakhir pada minggu lalu, akibat strok.

“Saya dan adik beradik isteri, Senani Ngah, 38, memang berhajat nak buat kenduri tahlil beberapa hari lagi di rumah ini, tapi nak buat macam mana bila dah jadi (kebakaran) terpaksa buat di masjid sahaja.

“Kami reda dengan apa yang berlaku biarpun terpaksa tinggal sehelai sepinggang, mujur isteri dan anak lelaki tunggal kami Ahmad Azizi Amiruddin, 3, sempat keluar dari rumah ketika kejadian,” ceritanya.

Azlan yang bekerja sebagai kontraktor binaan berkata, dia yang berada di tempat kerja di bandar Kuala Terengganu, menerima panggilan daripada penduduk kampung memaklumkan rumahnya terbakar.

“Dalam perjalanan balik macam-macam saya fikir, bimbang keselamatan isteri, anak dan keadaan rumah. Bila sampai api sudah marak, memang tak dapat selamat apa… tetapi lega bila tengok isteri dan anak selamat, itu paling penting,” jelasnya.

Azlan menganggarkan mengalami kerugian lebih kurang RM200,000 kerana semua barang di dalam rumah musnah, termasuk barang niaga milik isterinya yang bekerja sebagai jururawat dan menjalankan perniagaan sampingan di rumah.

“Barang niaga dia (isteri) saja bernilai RM100,000, tak termasuk barang lain seperti perkakas elektrik, perabot, wang dan banyak lagi,” katanya.

Sementara itu, seorang saksi, Jefri Ismail, 40, berkata, kira-kira jam 6.15 petang kelmarin, dia yang sedang sibuk mengemas barang di bengkel kereta berdekatan mendengar letupan seperti mercun dari jarak dekat.

“Bila dengar bunyi mercun (letupan), saya keluar dan melihat api datang dari arah rumah tengah. Saya cuba pecah masuk untuk padamkan api tetapi tak berjaya kerana pintu berkunci dan tuan rumah tiada ketika kejadian.

“Selang beberapa minit, orang kampung mula keluar dan saya bersama penduduk redah api yang mula marak untuk menyelamatkan barangan di rumah berhampiran. Rumah tengah memang tak dapat buat apa sebab kami tak dapat masuk,” katanya.

Komander Operasi, Timbalan Penguasa Bomba Kamerul Bieza Kassim berkata, kebakaran itu melibatkan tiga rumah dua tingkat.

Menurutnya, dua rumah itu hangus sama sekali, manakala sebuah rumah lagi musnah 50 peratus.

Seramai 27 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, BBP Wakaf Tapai dan Pasukan Bomba Sukarela Seri Nerus, terlibat dalam operasi pemadaman.

Tiada kemalangan  jiwa dan kecederaan dilaporkan dan operasi pemadaman tamat jam 8.12 malam.

Manakala usaha Sinar Harian menemui dua lagi pemilik rumah gagal difahamkan mereka ke Balai Polis Manir untuk buat laporan.

Sinar Harian 26 Mac 2015

0 comments:

Post a Comment