March 28, 2015

Pelajar kolej maut nahas

Motosikal dan kereta yang terbabit nahas di Batu 4 Jalan Pantai, malam kelmarin.

PORT DICKSON -  Seorang pelajar tahun tiga Kursus Sistem Komputer dan Rangkaian, Kolej Vokasional Port Dickson, maut dalam nahas di Batu 4 Jalan Pantai, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa, Muhamad Afiq Danial Azman Afande, 17, yang membonceng motosikal bersama rakannya, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hopital Port Dickson (HPD).

Difahamkan, orang ramai yang membantu sempat mengajar mangsa mengucap dua kalimah syahadah.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Baharudin Mustapha berkata, kemalangan membabitkan sebuah motosikal jenis Honda EX5 dan kereta jenis Toyota LE.

Menurutnya, siasatan awal polis mendapati, kereta tersebut yang dipandu seorang lelaki dari arah Telok Kemang berhenti di lampu isyarat kemudian membelok ke kanan sebaik lampu hijau.

“Pada masa sama, motosikal dibonceng mangsa bersama rakannya yang datang dari arah Port Dickson, terus merempuh kereta tersebut yang sedang membelok.

“Penunggang motosikal patah kaki, manakala pemandu kereta parah dan mereka kini dirawat di HPD,” katanya kepada Sinar Harian.

Baharudin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, jenazah mangsa selamat dikebumikan di Batu Kikir.

Sinar Harian 27 Mac 2015

0 comments:

Post a Comment