March 28, 2015

Merajuk sampai sesat dalam hutan

Healezry yang kelaparan diriba ibunya ketika disuap makanan oleh ayahnya semalam.

Seorang anggota bomba dan penyelamat Tenom memujuk Healezry yang ditemui dalam semak selepas hilang lebih 18 jam di Kampung Kuala Tolokoson, Kemabong dekat Tenom, Sabah semalam.

TENOM – Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun 11 bulan yang hilang lebih 18 jam dalam hutan selepas keluar seorang diri dipercayai kerana merajuk dengan ibunya ditemui dalam keadaan menangis teresak-esak di kawasan hutan di Kampung Kuala Tolokoson, Kemabong dekat sini semalam.

Kanak-kanak berkenaan yang dikenali Healezry Zeandfly Henderi yang hanya bersinglet dan berseluar pendek itu ditemui pukul 10.25 pagi dengan jarak 300 meter dari rumahnya.

Dikatakan anak bongsu daripada dua beradik itu merajuk selepas dilarang mengikuti ibunya, Moina Barahin, 27, mema­suki tandas yang berada di luar rumah kerana ingin membuang air kecil.

Penempatan rumah kanak-kanak itu terletak kira-kira 36 kilometer dari Pekan Tenom, berada dalam persekitaran dipenuhi kebun getah dan hutan di bahagian hadapan rumahnya selain Sungai Padas di bahagian belakang rumah.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tenom, Aziz Ajap berkata, kedudukan kanak-kanak itu dikesan apabila pihaknya mendengar tangisan kira-kira 3 minit di kawasan penemuan.

“Sebaik mendengar tangisan tersebut, kami memanggil nama­nya sebelum dia menyahut de­ngan bunyi suara uhhhh,uhhhh.

“Berdasarkan sahutan itu, kami cuba mengesan kedudukannya sebelum melihat kepala kanak-kanak berkenaan dalam rimbunan semak,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Menurutnya, sewaktu dihampiri, kanak-kanak itu berada dalam keadaan duduk sambil menangis dan pihaknya mengambil masa kira-kira dua minit bagi memujuk kanak-kanak lelaki terbabit sebelum membawanya keluar.

Tambahnya, Healezry dilihat dalam keadaan letih akibat kelaparan selain keadaannya yang kotor dan comot.

Kosmo 28 Mac 2015


Semalaman ‘bersembunyi’

KANAK-kanak ditemui di dalam hutan berhampiran rumahnya. FOTO ihsan Bomba

Tenom: Kanak-kanak berusia dua tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar bermain di sekitar rumahnya di Kampung Tolokoson Kemabong, dekat sini, ditemui selamat.

Kehilangan mangsa, Healezery Zeandfly Henderi disedari keluarganya selepas dikatakan tidak pulang ke rumah petang semalam sebelum bertindak menghubungi bomba pada 8.13 malam tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin berkata, sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu sepasukan anggota bomba dikerah ke lokasi kejadian untuk gerakan mencari.

"Bagaimanapun, mangsa gagal ditemui menyebabkan operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan pada 11.48 malam tadi.

"Operasi yang disambung semula pagi tadi berjaya menemui mangsa di hutan dalam keadaan bersendirian pada 10.25 pagi tadi," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Menurutnya, kanak-kanak berkenaan ditemui tidak jauh dari lokasi mangsa dilaporkan hilang sebelum ini.

myMetro 27 Mac 2015


0 comments:

Post a Comment