March 28, 2015

Ibu, ayah ‘buang’ empat anak

DJULIANA (dua dari kiri) bersama anak saudaranya Norliyana (kanan), Norsyakila (dua dari kanan) dan Nur Syuhaida (tengah).

Kota Kinabalu: “Sejak ibu bapa mereka hilang entah di mana, saya dan suami mengambil tanggungjawab sepenuhnya menjaga empat beradik ini,” kata Djuliana Berahim yang menjaga empat anak saudaranya selepas ditinggalkan ibu dan bapa kandung tanpa sebarang berita sejak lebih lima tahun lalu.

Norliyana Abdullah, 17, Mohd Nur Al Nizan Syah, 13, Norsyakila Muhammad Shairy, 11 dan Nur Syuhaida Muhammad Shairy, 6, menetap bersama Djuliana, 42, dan suami, Sahril Abdul Hamid, 52, di Tawau, di sini, selepas ibu bapa mereka, Edward Robert @ Muhammad Shairy Abdullah, 41, dan Norlellah Abd Hamid, 42, menghilangkan diri.

Djuliana berkata, dia dan Sahril pernah menumpang di rumah Muhammad Shairy dan Norlellah pada 1999 di Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram, Johor sewaktu suaminya bekerja di sana.

“Semasa di sana, Muhammad Shairy jarang berada di rumah sebelum menghilangkan diri. Kami kemudian mengambil keputusan berpindah ke kampung saya di Tawau bersama Norlellah dan anaknya,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, selepas beberapa bulan menetap di kampung, Norlellah memaklumkannya hendak mencari kerja bagi menampung kehidupan mereka.

“Saya membenarkannya tanpa mengesyaki sebarang perkara. Apatah lagi ketika itu, dia keluar sehelai sepinggang menyebabkan saya beranggapan mungkin Norlellah mahu mencari kerja di bandar.

“Namun sejak itu, Norlellah tidak pernah pulang ke rumah menyebabkan kami sekeluarga mula risau berlaku sesuatu yang buruk ke atasnya,” katanya.

Dia berkata, mereka cuba menghubungi nombor telefon bimbitnya, namun tidak berjawab dan usaha menjejakinya menemui jalan buntu.

“Sejak itu, saya dan suami mengambil tanggungjawab sepenuhnya menjaga semua anak saudara yang masih kecil dan bersekolah, malah kami tidak pernah membezakan anak kandung dengan mereka.

“Namun saya faham, pasti terdetik di hati mereka untuk berjumpa atau mengenali ibu bapa kandung sendiri,” katanya.

Sehubungan itu, Djuliana berharap agar Muhammad Shairy atau Norlellah menghubunginya dengan segera di talian 012-748 6981.

myMetro 27 Mac 2015

0 comments:

Post a Comment