March 28, 2015

Gadai nyawa selamat adik lemas

Mohamad Hafizul beberapa kali nyaris lemas ketika cuba menyelamatkan adiknya

KERTEH – “Banyak kali saya cuba tarik adik, tapi ketika sentuh badannya, saya tenggelam dan nyaris lemas.”

Demikian rintihan Mohamad Hafizul Mazlan, 26, yang bergadai nyawa menyelamatkan adiknya yang lemas ketika mereka sedang memasang jaring ikan di Sungai Kerteh, pagi semalam.

Kejadian berlaku jam 10.30 pagi semasa dua beradik itu bersama seorang sepupu mereka berusia 22 tahun, baru sahaja masuk ke dalam sungai di belakang Pasar Basah Kerteh.

Mayat adiknya, Mohamad Zaril, 23, dijumpai sejam kemudian dalam jarak lima meter dari lokasi mangsa dilihat tenggelam.

Mohamad Hafizul yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Plaza Tol Kampung Chabang Kerteh berkata, sewaktu masuk ke dalam sungai, adiknya itu berada di hadapan dan dia sempat bertanya sama ada adiknya pandai berenang atau tidak.

“Adik cakap dia pandai berenang, tapi tiba-tiba adik tenggelam timbul dengan tangan terkapai-kapai dalam jarak lima meter di hadapan saya.

“Terkejut tengok situasi itu, saya segera berenang ke arahnya dan cuba tarik, tapi dengan saya sekali tenggelam. Dalam keadaan panik, mujur kaki saya boleh capai selut di dasar sungai dan lonjakkan badan,” katanya.

Ikhtiar itu berjaya mengelakkannya daripada terus tenggelam sebelum dia memanggil empat pemuda dikenali yang sedang menaiki bot fiber tidak jauh dari lokasi mereka berada.

Kata anak sulung itu, sejurus bot fiber itu tiba, dia berpaut pada bot sebelum menyelam dan cuba memaut badan adiknya yang telah kaku di dasar sungai, namun sekali lagi dia nyaris lemas dan terpaksa naik ke permukaan semula.

“Badan saya juga lemah waktu itu, jadi kawan-kawan atas bot tarik saya naik ke atas bot dan saya minta seorang daripada mereka ke Balai Polis Kerteh untuk buat laporan.

“Tiga lagi kawan yang berada di atas bot kemudian berusaha menyelam dan mencari adik saya, tapi masih gagal. Selepas beberapa minit, saya turun semula ke dalam sungai dan ambil jaring panjang lalu masukkan dalam air. Saya buat seperti sauk, namun usaha itu juga gagal,”
katanya sebak.

Selepas sejam berhempas-pulas menyelam dan mencari, akhirnya seorang daripada mereka berjaya menemui mangsa yang masih berada di dasar sungai, sebelum menaikkan mangsa ke permukaan air.

“Pemandu bot yang jumpa. Ketika dia naikkan adik saya, saya sendiri yang tarik dan masukkan adik ke dalam bot. Waktu itu badan adik sudah sejuk,” katanya.

Mohamad Zaril yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik, tinggal bersama abang sulungnya itu di Kampung Chabang Kerteh, manakala ibu bapa mereka pula menetap di Kampung Baru Bukit Teruna.

Mereka keluar rumah jam 9 pagi dengan harapan dapat bawa balik banyak ikan setelah sudah lama tidak memukat ikan di kawasan sungai itu.

Kata Mohamad Hafizul, dia tidak sangka kesungguhan adiknya mengajak menjaring ikan sejak tiga hari lalu, akan berakhir dengan tragedi.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kemaman dengan lori dari Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh.

Jenazah mangsa kemudian dituntut keluarga petang semalam dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Bukit Teruna.

Ibu mangsa, Rubiah Ibrahim, 43, mengakui mangsa tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam mengesahkan menerima laporan kejadian.

Sinar Harian 27 Mac 2015

0 comments:

Post a Comment