March 28, 2015

Dua lelaki maut bertembung

Alor Setar: Dua lelaki maut apabila motosikal ditunggang mereka bertembung dalam kemalangan di Jalan Batas Ban berhampiran Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, malam tadi.

Kejadian berlaku kira-kira 10.30 malam, mengakibatkan mekanik Mohd Noor A'fifi Noor Zamri, 21, dan Ismail Othman, 35, maut di tempat kejadian akibat parah di badan dan kepala.

Manakala adik Noor A'fifi iaitu Mohd Noor A'zizi, 19, yang membonceng motosikalnya turut cedera muka dan menerima rawatan di HSB.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, kejadian berlaku apabila motosikal yang dinaiki dua beradik itu dari arah Jalan Datuk Kumbar menuju ke HSB dipercayai berlanggar secara berdepan dengan motosikal ditunggangi Ismail.

Katanya, akibat itu kedua-dua mangsa mati di tempat kejadian kerana kecederaan parah, manakala seorang lagi mangsa yang cedera dihantar ke HSB untuk rawatan lanjut.

"Setakat ini pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

myMetro 27 Mac 2015

0 comments:

Post a Comment