March 28, 2015

Dua beradik mati bersama

Ampang: Dua beradik warga emas ditemui mati di rumah mereka di Kampung Tasik Permai, dekat sini, semalam.

Mayat dua beradik berusia 75 dan 65 tahun itu ditemui kira-kira jam 12.30 tengah hari oleh rakan mereka yang datang melawat.

Menurut rakan mereka yang dikenali sebagai Hong, kali terakhir dia melawat mereka ialah kira-kira dua minggu lalu.

Katanya, pada Isnin lalu, dia datang ke rumah berkenaan, tetapi menyangka mereka mungkin keluar mendapatkan rawatan di hospital.

“Pada hari ini (semalam) saya datang sekali lagi sebelum terhidu bau busuk dan melihat seorang terbaring di hadapan pintu tandas.

“Lebih mengejutkan, saya melihat seorang lagi mati di dalam tandas. Saya terus menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, kedua beradik itu menghidap penyakit diabetes dan seorang daripadanya lumpuh.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Khairuldin Saad berkata, siasatan mendapati dua lelaki itu dikenali sebagai Ng Yim Hong dan Nge Peng Hong.

Menurutnya, soal siasat terhadap beberapa jiran mendakwa mereka sudah beberapa hari tidak nampak mangsa keluar dari rumah.

“Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut berdasarkan tiada kesan pecah rumah dan keadaan kediaman juga tidak berselerak.

“Kedua mangsa dipercayai sudah meninggal dunia sejak dua atau tiga hari lalu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

myMetro 28 Mac 2015

0 comments:

Post a Comment