February 25, 2015

Warga emas jual kuih rayu bantuan

Ketua Urusetia Pusat Khidmat dan Aduan Rakyat BN Perak, Mohd Rawi Abdullah menyerahkan sumbangan sempena Tahun Baharu Cina, semalam.

IPOH - Seorang warga emas mengharapkan sumbangan orang ramai bagi membantunya menjalani pembedahan jantung dalam tempoh terdekat.

Mok Ah Hah, 62, berkata, dia tidak menyangka simptom loya dan pening yang dialaminya awal Februari lalu sebenarnya adalah kesan daripada penyakit jantung.

Menurutnya, selepas kali ketiga pemeriksaan di dua hospital berbeza di Ipoh barulah doktor mengesan masalah yang membelenggu dirinya yang kerap sakit dada.

“Daripada pemeriksaan tersebut, doktor beritahu 68 peratus jantung saya telah tersekat dan perlu dilakukan pembedahan segera.

“Menurut doktor, dana untuk pembedahan tersebut berjumlah RM10,000 dan akan dilakukan di Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Raja Permaisuri Mazwin, semalam.

Beliau yang juga penjual kuih tidak mampu menampung kos tersebut akibat kesempitan hidup selain perlu menyara tiga anak dan isteri.

Katanya, hanya anak bongsu yang berusia 11 tahun bersekolah, anak sulungnya, 17, pula tergolong dalam golongan kurang upaya manakala anak kedua membantunya menjual kuih.

“Buat masa ini doktor tidak memberi sebarang tarikh untuk pembedahan cuma menyuruh saya tunggu tiga hingga lima bulan lagi,” katanya.

Bantuan boleh disalurkan terus ke akaun  Hong Leong Bank, 35350036042 di atas nama isterinya, Lee Lai Sim.

Sinar Harian 24 Feb 2015

0 comments:

Post a Comment