February 25, 2015

Van terbakar, dua nyaris maut

Anggota bomba melakukan kerja-kerja pemadaman di lokasi kejadian.

NILAI – Seorang lelaki bersama pembantunya, nyaris maut selepas van yang dinaiki terbakar di bulatan Inti International University& College di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian sekitar 5.20 petang itu, sebuah van jenis Nissan Vanette berwarna putih tanpa muatan terbakar 100 peratus.

Difahamkan, lelaki berusia lingkungan 50-an bersama pembantunya sedang dalam perjalanan dari arah Nilai sebelum menyedari kepulan asap di bahagian enjin kenderaan.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Awaluddin Abd Rahman berkata, bomba menerima panggilan kecemasan jam 5.26 petang.

“Sebuah jentera dan lima anggota bergegas ke lokasi kejadian dan tiba kira-kira lima minit kemudiannya.

“Sebaik tiba, api sedang marak dan telah membakar 100 peratus terutamanya di bahagian dalam dan belakang van berkenaan. Bomba terus melakukan kerja-kerja pemadaman bagi memastikan api tidak merebak ke kawasan lain,” katanya kepada Sinar Harian, dekat sini, semalam.

Menurutnya, api berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira 10 minit kemudiannya.

“Bagaimanapun, operasi bagi memadam punca api berakhir kira-kira 15 minit. Barangan peralatan dalam kenderaan tersebut gagal diselamatkan kerana semuanya musnah terbakar.

“Kebakaran berkenaan tidak melibatkan sebarang kecederaan dan tidak melibatkan mangsa,” katanya.

Punca kebakaran masih disiasat.

Sinar Harian 24 Feb 2015

0 comments:

Post a Comment