February 25, 2015

Tragedi ambil anak pulang dari sekolah

Mayat Sabariah yang tercampak di tengah jalan ditutup dengan kain sebelum dibawa ke hospital untuk bedah siasat.

KOTA BHARU - Seorang ibu yang baru pulang mengambil anaknya dari sekolah, maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah lagi motosikal dari arah belakangnya dalam kejadian di Bukit Marak, di sini, petang kelmarin.

Mangsa, Sabariah Omar, 52, maut di tempat kejadian kira-kira jam 5.12 petang, selepas mengalami kecederaan parah di kepala akibat tercampak selepas dirempuh, manakala dua anak perempuannya yang membonceng di belakang berusia 8 dan 11 tahun hanya calar di tangan serta kaki.

Ketua Polis Daerah Kota  Bharu, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa mengesahkan menerima laporan kejadian.

Menurutnya, mangsa dipercayai tidak memakai topi keledar semasa menunggang motosikal berkenaan.

“Mangsa dari arah Binjai ke Bachok masuk ke simpang berhampiran Masjid Bukit Marak dan ketika mahu membelok ke kanan untuk balik ke rumahnya, sebuah motosikal dari arah belakang gagal mengelak dan melanggar belakang motosikal mangsa.

“Akibat kejadian itu, mangsa tercampak, manakala penunggang motosikal yang melanggar mangsa cedera di leher dan lutut, kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan susulan,” katanya.

Rohaimi berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sinar Harian 24 Feb 2015

0 comments:

Post a Comment