February 25, 2015

Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut

Mayat mangsa terbaring di sebelah motosikalnya selepas terbabit nahas itu. Gambar kecil: Arusairy Mohamed Nordin

KUANTAN - Seorang pengurus projek maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggang terlibat nahas dengan sebuah kereta di Kilometer 31, Jalan Kuantan- Kemaman berhampiran simpang Sekolah Kebangsaan Sungai Ular, Kampung Sungai Ular dekat sini, semalam.

Dalam kemalangan kira-kira jam 7.35 pagi itu, Arusairy Mohamed Nordin, 39 dari Taman Balok Sejahtera yang menunggang motosikal jenis Kawasaki ZR750 cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Manakala pemandu kereta, seorang kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) berusia 27 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pemangku Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman berkata, ketika kejadian kedua-dua kenderaan dalam perjalanan dari arah yang sama.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu kakitangan TNB terbabit dipercayai cuba melakukan pusingan U sebelum dilanggar motosikal mangsa yang datang dari arah belakang.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak ke atas jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat,” katanya ketika di sini, semalam.

Zainalabidin berkata, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta pengangkutan Jalan 1987.

Sinar Harian 24 Feb 2015


Nazak atas jalan

Kuantan: “Saya melaungkan Allahuakbar selepas mendengar dentuman kuat sebelum melihat seorang lelaki terbaring di tengah jalan dalam keadaan nyawa-nyawa ikan,” kata seorang saksi dikenali sebagai Man, 40, yang melihat kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal berkuasa tinggi dan kereta di Kilometer 31, Jalan Kuantan-Kemaman, Cherating, dekat sini, semalam.

Kejadian jam 7.30 pagi itu disedari Man selepas pulang menunaikan solat Subuh di surau di Sungai Ular, dekat sini, namun dikejutkan dentuman kuat sebelum melihat lelaki terbaring mengerang kesakitan di tengah jalan.

“Saya terus ke lokasi kejadian dan ketika itu kelihatan mangsa, Arusairy Mohamed Nordin, 39, dari Taman Balok Sejahtera, di sini, masih hidup dan nafasnya tercungap-cungap sebelum orang ramai mengajarnya mengucap.

“Pada masa sama, saya menghubungi ambulans, namun mangsa disahkan meninggal dunia sebelum sempat dibawa ke hospital berhampiran,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Man berkata, sebelum ini dia sering melihat mangsa berikutan tinggal berhampiran kawasan rumahnya dan dipercayai Arusairy dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Kemaman, Terengganu sebelum terbabit kemalangan itu.

myMetro 24 Feb 2015


0 comments:

Post a Comment