February 25, 2015

56 tahun tak ada kad pengenalan

Ali menunjukkan bil hospital setelah beberapa kali ditahan di wad HTF.

KANGAR - Seorang pesakit angin ahmar terpaksa hidup sebatang kara dan mengharapkan belas ihsan sepupunya untuk meneruskan hidup selepas kehilangan kad pengenalan 56 tahun yang lalu.

Warga emas, Ali Husin, 76, berkata, sejak diserang penyakit itu pada 31 Disember 2013, dia tidak mampu berjalan, malah tangan kirinya juga tidak dapat digerakkan.

"Apabila tak ada kad pengenalan saya tak layak dapat sebarang bantuan, malah tak layak mohon Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) seperti orang lain.

"Mujurlah sepupu mahu jaga saya dan sejak itulah saya menumpang dekat sini," katanya ketika ditemui di rumah sepupunya, Rohani Sudin, 51, di Kampung Behor Temak, semalam.

Menurutnya, pada usianya 20-an, kad pengenalannya terjatuh ke dalam lubang tandas dan dia pernah membuat laporan polis selepas kejadian itu.

"Sebelum ini saya simpan laporan itu dan pernah ke pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perlis untuk mendapatkan kad pengenalan baharu namun ia memerlukan pelbagai perakuan daripada saudara terdekat.

"Hal rumit itu menyebabkan saya putus asa nak gantikan kad pengenalan baharu sehinggalah sekarang saya sudah tidak mampu lagi nak ke JPN," katanya.

Katanya, dia sering sakit kaki dan akan sentiasa ke hospital.

"Mujur pihak Hospital Tuanku Fauziah (HTF) tidak mengenakan bil yang tinggi walaupun saya tak menunjukkan kad pengenalan.

"Oleh itu saya harap pihak JPN dapat mempermudah urusan saya mendapatkan kad pengenalan bagi melayakkan saya menerima bantuan seterusnya merawat penyakit dihidapi," katanya.

Sementara itu, Pengarah JPN Perlis, Norazlinda Ali ketika dihubungi berkata, pihaknya akan ke rumah Ali selepas ini bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenainya.

"Saya bersama pegawai JPN akan mencatat beberapa kenyataan dan maklumat daripada saudara mara Ali bagi menyokong tindakan pihaknya selepas ini," katanya.

Sinar Harian 23 Feb 2015

0 comments:

Post a Comment