January 27, 2015

Tindakan pantas bomba selamatkan rumah

Anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran pada lori berkenaan untuk memastikan api tidak merebak ke kediaman berhampiran.

SEREMBAN - Tindakan pantas pihak bomba memadamkan kebakaran melibatkan lori satu tan di Kampung Batu 3, Mambau, dekat sini, kelmarin berjaya menyelamatkan sebuah rumah sewa tiga pintu daripada turut terbakar.

Dalam kejadian sekitar jam 6.08 petang itu, lori berkenaan yang diparkir bersebelahan kediaman tersebut hangus.

Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Md Zin Salleh berkata, bomba bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan daripada orang awam.

“Sembilan anggota, termasuk dua pegawai kanan dihantar ke lokasi dengan menaiki tiga jentera. Selain lori, stor berdekatan yang menempatkan barang-barang dapur untuk berniaga turut musnah.

“Kita mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengawal kebakaran. Kerja-kerja pemadaman dan pemeriksaan menyeluruh selesai lebih kurang 45 minit kemudian,” katanya, di sini, semalam.

Menurut beliau, insiden itu nyaris mengakibatkan kediaman separa kekal yang disewa tiga keluarga termasuk pemilik lori itu terbakar.

“Kita dapati, bahagian bumbung dan dinding sebelah luar di rumah paling hujung terbakar sedikit, iaitu sekitar 10 peratus.

“Bagaimanapun, tiada penghuni cedera. Punca kebakaran dan jumlah kerugian pula masih dalam siasatan,” katanya.

Sinar Harian 25 Jan 2015

0 comments:

Post a Comment