January 24, 2015

Tiga terbunuh bawah jejambat


Mangsa yang terbunuh: (Dari kiri) Kueh, Kham dan Lee Teng. - Foto The Star

Foto The Star

Kuala Lumpur: Tiga terbunuh manakala dua cedera dalam kemalangan di Kilometer 11.7 Lebuhraya Lingkaran Tengah Dua (MRR2) menghala ke Kepong, 12.58 tengah malam tadi.

Kemalangan membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandu lelaki berusia 35 tahun bersama tiga ahli keluarga serta seorang rakannya.

Difahamkan, mereka dalam perjalanan pulang ke Taman Selayang Makmur, Batu Caves, di sini, selepas mengambil dua anaknya menjalani latihan badminton di Setapak.

Menurut sumber, mangsa yang maut adalah ibu pemandu, Kham Chui Yoke, 59, anak pemandu, Ng Lee Teng, 10, dan rakannya, Kueh Chin Hui, 42.

Kereta yang dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan sebelum melanggar besi pembahagi jalan dan tiang konkrit.

"Semua mangsa maut di lokasi kejadian. Mayat dibawa ke Hospital Selayang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

myMetro 24 Jan 2015


Tiga maut kereta rempuh jejambat

 Kereta yang dinaiki mangsa remuk teruk akibat rempuhan kuat pada tiang jejambat. 

Keadaan ibu pemandu yang tercampak keluar dari kereta.

GOMBAK - Tiga maut manakala dua cedera apabila kereta dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh tiang jejambat dalam kejadian di Kilometer 11.7, Lebuhraya Lingkaran Tengah Dua (MRR2) berhampiran Sri Gombak, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1 pagi itu, kereta jenis Toyota Estima berkenaan dipandu lelaki berusia 30-an bersama dua anak, ibunya dan seorang lagi rakan.

Menurut sumber, pemandu didakwa gagal mengawal kenderaan sebelum merempuh tiang konkrit jejambat berkenaan.

“Kereta terseret kira-kira 25 meter melalui kesan brek atas jalan sebelum akhirnya melanggar besi pengadang dan tiang.

“Kesemua mangsa tersepit dalam kereta. Ibu pemandu, Kham Chui Yoke, 58, maut akibat tercampak keluar dan mengalami kecederaan parah di kepala dan anggota badan (putus kaki),” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, kesemua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Selayang Makmur dari arah Setapak.

“Rakan pemandu, Kueh Chin Hui, 42 dan anak perempuan pemandu, Ng Lee Teng, 10, juga meninggal dunia akibat tersepit di dalam kereta.

“Pemandu kini dilaporkan kritikal sementara seorang lagi anaknya berusia 14 tahun hanya mengalami cedera ringan. Kedua-dua mangsa sedang menerima rawatan di Hospital Selayang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sinar Harian 25 Jan 2015

0 comments:

Post a Comment