January 24, 2015

Tiga beranak dirempuh


Kereta Proton Iswara Aeroback ini dipercayai hilang kawalan 

Muhamad Izuddin yang cedera parah.

SUNGAI HAJI DORANI – Dua beranak dan seorang saudara mereka cedera parah selepas motosikal jenis Yamaha Lagenda yang dinaiki terlibat dalam kemalangan di Kilometer 50 Jalan Teluk Intan-Klang, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa, Khamsiah Arbi, 36, dalam perjalanan menghantar anaknya, Muhamad Izuddin Zaidi dan anak saudaranya, Nur Farah Amylia Suhairol masing-masing berusia 10 tahun ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Haji Dorani.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, ketiga-tiga mereka dipercayai dalam perjalanan dari rumah di Kampung Tebuk Masro, Sungai Besar menghala ke sekolah mengikut jalan dari arah Pekan Sungai Haji Dorani.

Katanya lagi,  sebaik tiba di simpang empat di pekan itu,  sebuah kereta Proton Iswara Aeroback dari arah Klang menghala ke Hutan Melintang, Perak dipercayai gagal dikawal lalu merempuh motosikal terbabit.

“Kereta terbabit didapati meneruskan perjalanan ketika lampu isyarat kuning bertukar merah tanpa menyedari sebuah motosikal tiba-tiba didapati cuba melintas dari arah laluannya,” katanya.

Katanya, akibat pelanggaran itu, ketiga-tiga mangsa tercampak dari motosikal terbabit menyebabkan kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam.

“Mangsa mengalami patah kaki kanan dan leher, anaknya pula patah kaki kanan dan bahu kiri dan anak saudara mangsa mengalami kecederaan di bahagian paru-paru dan patah paha kanan,” katanya.

Beliau berkata, dua beranak itu kemudiannya dirujuk di Hospital Teluk Intan dan anak saudara mangsa menerima rawatan kecemasan di Hospital Cheras.

Menurut beliau, siasatan kes kemalangan dikendalikan Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Rohani Jani di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sinar Harian 24 Jan 2015

0 comments:

Post a Comment