January 24, 2015

Tangisan kebuluran


ANGGOTA polis memotong mangga pada pintu rumah kedai di Taman Rakyat, Mergong untuk membawa keluar lelaki warga Myanmar (gambar kecil) yang dikurung majikan.

Alor Setar: Tangisan seorang lelaki merayu meminta tolong di tangga sebuah rumah kedai di Taman Rakyat, Mergong, di sini, membongkar kejadian seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) dipercayai dikurung majikannya sejak lima hari lalu tanpa diberi makan.

Dalam kejadian jam 2.20 pagi, Robimalan Soyatalom, warga Myanmar berusia 21 tahun ditemui orang ramai yang sedang makan di sebuah restoran di sebelah premis lelaki itu ditemui.

Difahamkan, ketika ditemui lelaki itu tidak bermaya dipercayai tidak diberi makan sejak lima hari lalu, selain hanya air oleh majikan atau ejen yang membawanya masuk ke negeri ini.

Saksi kejadian berusia 30-an yang enggan dikenali berkata, dia dan beberapa rakan cuba membuka pintu jeriji berkenaan bagi membawa keluar mangsa yang ketika itu sedang menangis di atas tangga, namun gagal.

“Kami cuba membuka pintu jeriji dengan mengetuk mangga menggunakan besi dan kayu namun gagal, lalu menghubungi polis kerana bimbang dituduh menceroboh oleh pemilik premis itu nanti.

“Polis yang tiba tidak lama kemudian menggunakan pemotong besi untuk memotong mangga dan lelaki itu dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

myMetro 24 Jan 2015

0 comments:

Post a Comment