January 24, 2015

Tak sempat timang cahaya mata sulung


Nurainiza bersama Mohamad Zafawi pada hari akad nikah mereka, 31 Julai tahun lalu.

KEMAMAN – Seorang anggota bomba di Pengkalan Bekalan Kemaman maut selepas dipercayai dianggar lari ketika mangsa dalam perjalanan untuk pergi bekerja dalam kejadian di Kilometer 141.8 Jalan Perwaja Steel-Tioxide (M) Sdn Bhd di Teluk Kalong, Kijal, pagi semalam.

Mangsa, Mohamad Zafawi Abdullah, 26, yang baharu berkahwin enam bulan lalu dan menunggu untuk menimang cahaya mata sulung, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.50 pagi itu, Mohamad Zafawi yang mempunyai abang kembar dan menunggang motosikal Honda EX5 Dream, dipercayai cuba mengelak seketul batu yang berada di atas jalan sebelum terjatuh dan dilanggar sebuah kenderaan lain.

Kejadian itu disedari orang awam yang melalui lokasi kejadian kira-kira jam 7 pagi sebelum kejadian itu dilaporkan kepada pihak polis.

Isteri mangsa yang hamil lima bulan, Nurainiza Rani, 21, berkata, dugaan berat itu akan dilaluinya dengan tabah walaupun amat terkilan kerana suaminya tidak sempat menatap wajah bayi sulung mereka.

“Saya harap dia (pemandu kenderaan yang melanggar suaminya) muncul untuk beri kerjasama,” katanya di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Kemaman, semalam.

Menurut Nurainiza yang tinggal di Kampung Pinang Merah, Dungun, memandangkan jarak tempat kerja yang jauh dengan rumah, suaminya tinggal menyewa bersama rakan di Teluk Kalong dan pulang ke rumah mentua di Kampung Pinang Merah, setiap kali cuti.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam yang mengesahkan kemalangan itu berkata, siasatan polis di lokasi kejadian menemui kesan geseran di atas jalan sepanjang 18 meter dan kesan seretan darah sepanjang 1.6 meter.

Justeru katanya, pihak polis meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Kemaman menerusi talian 09-8591999 atau boleh ke mana-mana balai polis berdekatan.

Sinar Harian 24 Jan 2015

0 comments:

Post a Comment