January 24, 2015

Tahan lapar demi anak-anak


Wan Mohammad Ghazali (tiga, kiri) menyerahkan surat tawaran menyewa PPR kepada Abdul Halim, sambil diperhatikan serta Pegawai DBKL, wakil Umno Bahagian Batu serta wakil Menteri Wilayah Persekutuan.

Rumah ini dibina Abdul Halim hasil bantuan adik beradik sejak dua bulan lalu kerana tidak mampu menyewa rumah lain.

KUALA LUMPUR - Ketika kanak-kanak lain seusianya membesar dengan makanan berkhasiat termasuk susu formula, sepasang suami isteri di sini hanya mampu membancuh susu pekat untuk anak bongsu mereka berusia dua tahun, sejak setahun lalu.

Malah, ada kalanya mereka suami isteri terpaksa berlapar demi memastikan enam anak mereka dapat menjamah makanan setiap hari, walaupun sekadar ubi kayu rebus atau nasi bubur.

Abdul Halim Abdul Khalil, 38, dan isterinya, Norsidah Abu, 34, terpaksa memulakan hidup dengan membina sebuah rumah papan bawah kawasan pencawang berhampiran Taman Metropolitan Batu, sejak hampir dua bulan lalu setelah keluar dari rumah sewa mereka.

Mereka menyewa rumah di Taman Batu Permai dengan harga RM350 sebulan sejak lapan tahun lalu, namun menerima notis keluar dengan alasan pemilik mahu membuat pengubahsuaian.

“Jadi saya terpaksa cari rumah lain. Saya merayau-rayau dan jumpa kawasan ini. Saya tengok ada orang buat kebun, jadi saya minta tumpang. Saya bina rumah dengan bantuan kewangan adik-beradik lain. Kalau nak sewa tempat lain, saya tak mampu. Jadi sinilah kami anak beranak berlindung," katanya.

Anak sulungnya berusia 16 tahun juga sudah tidak bersekolah kerana dia tidak mampu menanggung perbelanjaan persekolahan.

Dia juga sudah putus pendapatan sejak berpindah keluar kerana sebelum ini keluarga disara melalui gaji sebagai pekerja kilang sambilan sebanyak RM900 sebulan.

“Saya pernah minta bantuan baitulmal, tapi saya tak layak kerana masih muda dan kuat bekerja. Tapi saya harap dapat diberikan bantuan untuk pembiayaan persekolahan anak-anak. Dan jika boleh, mahu anak sulung sambung sekolah,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Komuniti Sosial, Wan Mohammad Ghazali Nor, melakukan lawatan bersama wakil Umno Bahagian Batu, pejabat cawangan DBKL dan wakil Menteri Wilayah Persekutuan di rumah keluarga berkenaan.

Turut diserahkan tawaran penyewaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda.

Sementara itu, kata Norsidah, tawaran berkenaan umpama sinar baru buat mereka sekeluarga memulakan hidup lebih selesa.

Malah katanya, apabila berpindah nanti, dia berpeluang menyambung semula perniagaan ice blended hasil bantuan program e-Kasih, Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk menampung belanja.

“Saya berniaga di rumah lama. Dapatlah RM20 sehari,” katanya.

Sinar Harian 24 Jan 2015

0 comments:

Post a Comment