January 27, 2015

Remaja cedera eksperimen meletup

KEADAAN tong alat pemadam api yang meletup akibat tindakan remaja cuba mengisi gas kimpalan ke dalamnya

Bidor: Tindakan seorang remaja cuba mengisi gas kimpalan ke dalam tong alat pemadam api dipercayai diubah suai mengundang padah apabila tong berkenaan meletup mengakibatkan mangsa cedera dalam kejadian di bengkel kimpalan di Jalan Bidor Raya, di sini semalam.

Dalam kejadian jam 1 petang itu, remaja terbabit dilaporkan cedera pada kedua-dua tangan dan dada akibat terkena serpihan besi tong pemadam api yang meletup.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bidor, Penguasa Bomba Kanan ll Nasir Md Nor berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu jam 1.11 petang dan sebaik tiba di lokasi, pihaknya mendapati remaja terbabit dihantar ke hospital oleh ahli keluarganya untuk mendapatkan rawatan.

“Siasatan mendapati tong alat pemadam api berkenaan dipercayai meletup susulan tindakan remaja terbabit cuba mengisi tong itu dengan gas kimpalan.

“Tindakan berbahaya remaja terbabit menyebabkan ia meletup kerana ketebalan besi tong pemadam api tidak sama dengan tong gas kimpalan sebenar serta tidak boleh menampung gas kimpalan hingga boleh menyebabkan ia meletup,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Nasir berkata, pihaknya dimaklumkan ibu mangsa, kecederaan remaja terbabit tidak serius, namun mangsa mengadu sakit dada mungkin kerana terkena serpihan besi tong pemadam api berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap alat pemadam api berkenaan mendapati ia berusia lebih 20 tahun dan sudah tamat tempoh, selain ia juga didapati diubah suai dengan bahagiannya dibersihkan.

“Kebiasaannya alat pemadam api hanya boleh digunakan untuk tempoh 10 hingga 12 tahun saja, dan pengisian semula hanya boleh dilakukan pihak konsultan yang diberikan lesen saja, malah pihak bomba sendiri tidak boleh melakukan pengisian,” katanya.

myMetro 26 Jan 2015


Remaja maut tong pemadam api diubah suai meletup

IPOH 25 Jan. - Seorang remaja, Law Kok Kong, 17, maut selepas terkena letupan ketika cuba mengisi gas argon yang digunakan untuk kimpalan keluli tahan karat ke dalam tong pemadam api yang telah diubah suai di sebuah bengkel besi di Bidor, petang ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang, Kok Kong yang mengalami pendarahan di bahagian mulut, dada dan perut; dikejarkan ke Hospital Tapah untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia lewat petang ini. - UTUSAN ONLINE

25 Jan 2015

0 comments:

Post a Comment