January 24, 2015

Pemancing hilang ditemui lemas

KEMAMAN - Seorang lelaki yang dilapor hilang Rabu lalu selepas memancing di Sungai Cherul, Kampung Ban Hoe di sini ditemui lemas pagi tadi.

Mayat Rimedan Seman, 25, dijumpai anggota pasukan bomba dan penyelamat kira-kira pukul 7.50 pagi, lima meter dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh ke dalam sungai dan hanyut.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri, Ismail Mat Hassan berkata mayat mangsa telah diserah kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Kemaman untuk dibedah siasat.

Sementara itu di Dungun, seorang tukang sapu di sebuah institut memandu maut apabila motosikalnya dirempuh kenderaan lain di Jalan Teluk Gadong berhampiran Kelab Golf Dungun tengah malam tadi.

Ibu kepada lima orang anak Norliza Ba'i, 44, dari Kuala Abang dipercayai dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang pemuda berumur 22 tahun. - Bernama

23 Januari 2015


Pemancing hilang di Sungai Banho

KEMAMAN – “Baru tujuh bulan kami kahwin tiba-tiba jadi tragedi ini, namun selagi dia tidak dijumpai.. saya akan terus berdoa agar dia selamat.”

Hanya ungkapan itu mampu terucap pada bibir Nurul Liana Abdul Latif, 28, selepas suaminya, Rimedan Seman, 25, yang keluar memancing dikhuatiri lemas apabila dihanyutkan arus sungai berpusar dalam kejadian di Sungai Banho, Hulu Cerul, kira-kira jam 7.30 petang kelmarin.

Sebelum insiden itu, mangsa yang datang memancing bersama 10 rakannya turut memasang khemah kerana mahu bermalam di kawasan tebing sungai itu.

Bagaimanapun, selepas memancing hingga senja, mangsa yang cuba menyeberang sungai keseorangan untuk pulang semula ke khemah hilang bersama pusaran arus deras sungai itu.

Nurul Liana berkata, dia turut melakukan solat hajat sebagai ikhtiar agar suaminya itu dapat ditemui segera.

“Semasa keluar rumah, abang (Rimedan) sangat ceria, malah untuk pergi memancing dia sanggup ambil cuti.

"Tak sangka begini pula jadinya, namun walau apapun berlaku saya akan tetap tunggu kepulangannya,” katanya sebak.

Nurul Liana bersama suaminya yang bekerja di sebuah syarikat swasta di kawasan perindustrian petroleum di Paka, Dungun tinggal bersama kedua ibu bapa mertuanya di Felda Neram 1.

Adik mangsa pula, Risbulah, 22, berkata, sebelum keluar rumah abangnya itu memberitahu akan pulang pada pagi hari ini (Khamis).

“Abang cakap dia akan berada di sungai itu hanya untuk satu malam sahaja. Semasa abang keluar, tidak timbul rasa bimbang dalam hati saya,” katanya.

Sementara itu,  Ketua Zon 2 Bomba Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II Azmi Ab Rahim berkata, sebaik menerima panggilan orang ramai jam 9. 28 malam, sepasukan anggota bomba terdiri daripada lapan anggota dan dua anggota bomba bantun dari Balai Bomba Cheneh bergegas ke tempat kejadian.

Katanya, 10 rakan mangsa tidak dapat menyelamatkannya semasa dia dihanyutkan arus deras berikutan keadaan air sungai yang berpusar dan berbahaya.

“Disebabkan keadaan sudah malam dan cuaca gelap semalam (kelmarin) terpaksa dihentikan dan operasi mencari mangsa diteruskan pada jam 8 pagi ini (semalam) dengan bantuan penduduk kampung, anggota Rela dan polis di lokasi kejadian," katanya.

Namun, sehingga jam 6 petang semalam, mangsa masih belum ditemui dan operasi bersambung hari ini.

Sinar Harian 23 Jan 2014

0 comments:

Post a Comment