January 24, 2015

Mayat mangsa bot karam tiba di KLIA semalam


SEREMBAN - Mayat rakyat Malaysia, mendiang Cheong Kin Chin, 55, yang maut dalam insiden bot tunda karam di Terusan Fubei, Sungai Yangtze dekat Jiangjiang, Wilayah Jiangsu di China, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang kira-kira pukul 4 petang semalam.

Abang ipar mangsa, Yong Peng Seng, 61, berkata mayat mendiang kemudiannya dibawa ke pusat pengurusan mayat di Temiang di sini kira-kira pukul 7 malam dan akan dibakar esok.

Beliau berkata mendiang yang masih bujang bekerja sebagai penyelia teknikal dengan sebuah syarikat dari Singapura, sudah tinggal di China lebih lima tahun.

"Walaupun tinggal berjauhan, mendiang sering berhubung dengan keluarganya dan kali terakhir mereka bertemu adalah semasa sambutan Tahun Baharu Cina tahun lepas kerana mendiang akan pulang ke rumah keluarganya di Kampung Baru Rasah.

"Berita kematian mendiang yang dimaklumkan pihak syarikat tempat dia bekerja sangat mengejutkan kami sekeluarga," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari  ini.

Yong berkata mendiang Cheong merupakan anak bongsu daripada empat beradik selain ibu bapanya sudah meninggal dunia.

Dalam kejadian 15 Januari lepas, daripada 25 mangsa, hanya tiga terselamat sementara yang lain disahkan terbunuh termasuk empat warga Singapura serta masing-masing satu dari Malaysia, India, Indonesia dan Jepun. - Bernama

24 Januari 2015


Bot karam: Penumpang rakyat Malaysia dikenal pasti

KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang dalam insiden bot tunda karam di Terusan Fubei, Sungai Yangtze dekat Jiangjiang, Wilayah Jiangsu di China, dikenal pasti sebagai Cheong Kin Chin.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan semalam, melahirkan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga Cheong, yang berasal dari Negeri Sembilan.

"Kementerian juga akan membantu urusan perjalanan keluarga mendiang ke China.  Konsulat Malaysia di Shanghai sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa China untuk menguruskan penghantaran pulang mayat Cheong ke Malaysia," katanya.

Kementerian itu berkata pihak berkuasa di China pada hari ini mengesahkan seorang rakyat Malaysia maut dalam insiden bot tunda itu Khamis lepas di Terusan Fubei.

"Daripada 25 mangsa hanya tiga terselamat sementara yang lain-lain disahkan terbunuh termasuk empat warga Singapura, satu rakyat Malaysia, satu rakyat India, satu warga Indonesia dan satu rakyat Jepun," katanya. - Bernama

18 Januari 2015

0 comments:

Post a Comment