January 29, 2015

Mangsa nahas maut diriba sahabat


KEADAAN motosikal yang ditunggang arwah Muhamad Saidi.

Gua Musang: “Depan mata saya, dia bertembung dengan lori pikap itu, malah hati saya pilu melihat dia menghembuskan nafas terakhir,” kata Mat Ghazali Jusoh, 46.

Mat Ghazali rakan baik kepada Muhamad Saidi Hamidun, 26, yang maut dalam kemalangan di Jalan Agropolitan Rantau Manis, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, Muhamad Saidi yang juga seorang peserta program agropolitan Majlis Tindakan Ekonomi Pantai Timur (ECER) gagal mengawal motosikalnya sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori pikap.

Ketika itu, lori berkenaan yang dipandu seorang lelaki berusia 30-an dalam perjalanan mengambil pekerja ladang di bawah program berkenaan.

Kata Mat Ghazali, mangsa sebelum itu mengisi minyak di sebuah stesen minyak tidak jauh dari tempat kejadian dan dalam perjalanan itu juga Muhamad Saidi turut memotong motosikal ditunggangnya.

“Biasanya apabila dia cuba memotong kenderaan saya, dia akan bunyikan hon namun ketika kejadian dia tidak melakukannya.

“Saya juga berada dalam jarak kira-kira 30 meter di belakangnya sebelum melihat dia bertembung lori itu. Saya kemudian memecut untuk melihatnya.

“Sebaik tiba, saya segera riba kepalanya dan dia masih bernafas lagi ketika itu. Saya ajarkan dia mengucap kalimah syahadah beberapa kali sebelum dia menghembus nafas terakhir,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Gua Musang (HGM) di sini, semalam.

Sementara itu, isteri arwah Muhamad Saidi, Azlina Ibrahim, 25, berkata, menyedari perubahan suaminya yang kurang ceria dan pendiam sejak malam sebelum kejadian.

Katanya, pagi semalam juga arwah suaminya tidak banyak bercakap.

“Saya reda dengan pemergiannya,” katanya yang dua tahun menetap di kawasan ECER Agropolitan di situ dan masih belum dikurniakan cahaya mata.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Superintendan Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian kemalangan itu dan mayat mangsa dihantar ke HGM untuk bedah siasat.

myMetro 29 Jan 2015

0 comments:

Post a Comment