January 24, 2015

Isteri cekal jaga suami lumpuh

Subramaniam hanya terlantar sejak lumpuh seluruh badan setahun lalu. Gambar kecil: Poospavaly

TAIPING – Berat mata memandang, berat lagi mahu memikul. Itulah keadaan yang terpaksa dilalui ibu empat anak, P Poospavaly, 38, setelah suaminya lumpuh seluruh badan sejak setahun lalu.

Poospavaly, 38, berkata, dua tahun lalu suami, P Subramaniam, 43, diserang strok sebelum lumpuh seluruh anggota setahun selepas itu.

"Suami hanya terlantar. Sayalah yang menyara keluarga dengan pendapatan RM15 sehari di kedai makan. Sebab tak mampu bekerja seorang diri untuk sara keluarga, anak sulung saya Vikneswarry, berusia 18 tahun terpaksa berhenti sekolah untuk bekerja.

"Anak kedua saya, Susila berusia 17 tahun juga berhenti sekolah untuk jaga ayahnya dan uruskan dua lagi adiknya yang masih bersekolah," katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, dia pernah menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 sebulan.

Bagaimanapun, katanya, bantuan itu dihentikan dengan alasan mereka enam beranak tinggal di rumah setinggan.

"Lepas itu, kami mohon semula dan bantuan disambung lagi. Tapi enam bulan lalu, bantuan itu dihentikan dan kami hilang sumber kewangan tambahan.

"Dulu, wang bantuan itu saya gunakan sepenuhnya untuk keperluan suami seperti lampin pakai buang. Tapi sejak bantuan dihentikan, kewangan makin terhad," katanya.

Poospavaly berkata, dia berharap bantuan itu disambung semula kerana ia amat diperlukan.

"Jika hanya harapkan gaji saya yang tidak seberapa dan pendapatan anak sulung yang bekerja kilang memang tak cukup," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Komuniti Hindu Cemerlang Taiping, SN Varathan berkata, pihaknya berusaha membantu keluarga berkenaan, terutama untuk mendapatkan bantuan kewangan.

“Terima kasih kepada JKM yang banyak membantu dan saya harap bantuan bulanan dapat diberikan semula kepada keluarga ini.

“Persatuan hanya bantu sekadar mampu sebab tiada peruntukan khas," katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menghubungi Vikneswarry di talian 016-5651394 atau Persatuan Komuniti Hindu Cemerlang Taiping menerusi talian 019-5205016.

Sinar Harian 24 Jan 2015

0 comments:

Post a Comment