January 25, 2015

Ibu tunggal maut motosikal ditunggang dirempuh kereta


DUNGUN: Seorang ibu tunggal maut selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta di Jalan Pantai Sura Hung, dekat Kelab Golf Dungun, awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.10 tengah malam, mangsa Norliza Ba'I, 44, yang berasal dari Kampung Baru Kuala Abang maut serta merta di tempat kejadian.

Ketika kejadian, mangsa yang bekerja sebagai tukang sapu di sebuah sekolah memandu dalam perjalanan mengambil kakaknya , Norlida, 47, yang bekerja di sebuah kedai makan di situ.

Mangsa yang menunggang motosikal Honda Ex5 dikatakan membelok ke laluan kanan sebelum dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang datang dari arah belakang.

Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak sejauh 20 meter dan mangsa yang parah di kepala dan patah kaki kanan meninggal di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacob mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Mayat mangsa dibawa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan menyebabkan kematian.

Berita Harian 23 Jan 2015

0 comments:

Post a Comment