January 24, 2015

Hanya mampu lihat harta terbakar


Keadaan api marak membakar kediaman yang dihuni lapan sekeluarga berusia 50 tahun di Peringkat 2, Felda Bukit Rokan, semalam. 

Nagajothi dan suaminya, B. Jayaganesh, 38, melihat kediaman mereka yang musnah terbakar di Peringkat 2, Felda Bukit Rokan, semalam.

GEMENCHEH – Lapan sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman yang diduduki sejak 50 tahun lalu di Peringkat 2, Felda Bukit Rokan, dekat sini, hangus 100 peratus, semalam.

Kejadian kira-kira jam 12 tengahari itu mula disedari oleh mangsa, R.Asotha, 60, yang ketika itu sedang memerah santan di dapur.

Menurut Asotha, sebaik mendengar bunyi benda meletup, dia segera memanggil menantunya, Nagajothi, 33, kerana beranggapan menantunya sedang menonton televisyen.

“Bagaimanapun, menantu saya tidak menyahut panggilan dan saya terus pergi ke hadapan rumah untuk melihat dari mana bunyi letupan itu datang. Namun saya sangat terkejut apabila melihat api sedang memercik dari peti meter elektrik.

“Saya segera menjerit meminta tolong, namun api marak dengan pantas," katanya ketika ditemui.

Kata Asotha, dia kerugian hampir RM200,000 apabila sebuah pacuan empat roda jenis Hilux, motosikal jenis Yamaha RXZ, barang kemas, duit serta barangan kedai runcit hangus terbakar.

Sementara itu, Nagajothi berkata, ketika kejadian, dia berada di rumah saudara mereka yang terletak tidak jauh dari rumah untuk menghantar barang.

“Saya terdengar teriakan mak mertua dan segera berlari ke arahnya. Bagaimanapun, api terlalu marak dan membakar bahagian hadapan rumah. Kami cuba meminta tolong, namun penduduk masih lagi belum pulang bekerja.

“Kami hanya melihat api marak dan tidak mampu menyelamatkan barangan terutamanya dokumen pengenalan diri memandangkan hanya kami berdua sahaja berada di rumah ketika itu kerana ayah mertua (B. Balaraman, 68) masih belum pulang menoreh getah," katanya.

Susulan insiden itu, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gemas diketuai oleh Ketua Balai Bomba Gemas, Penolong Penguasa Bomba, Syed Ammar Syed Abas bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan pada jam 12.05 tengah hari.

“Usaha memadam kebakaran ini turut menerima bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Bahau.  Punca kebakaran masih lagi dalam siasatan," katanya.

Sementara itu, Adun Gemencheh, Mohd Isam Mohd Isa berkata, keluarga terbabit akan menetap di rumah saudaranya buat sementara waktu.

"Pihak Felda akan menguruskan bantuan bagi membina kembali rumah yang musnah dalam kebakaran berkenaan.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah menyalurkan bantuan seperti selimut, bantal dan lain-lain buat kegunaan keluarga mangsa kebakaran," katanya.

Sinar Harian 24 Jan 2015

0 comments:

Post a Comment