January 24, 2015

Dua lagi buaya naik ke darat


PENDUDUK tempatan berjaya mendaratkan seekor buaya tembaga sepanjang 2.5 meter dan seberat 90kg selepas termakan umpan kail pancing di Sungai Niah, Miri semalam.

KUCHING – Bencana banjir dan fenomena air pasang besar yang melanda Sarawak baru-baru ini te­lah menyebabkan beberapa ekor buaya tembaga yang mendiami sungai-sungai di negeri itu naik ke darat hingga menggemparkan penduduk setempat.

Terbaru, seorang pemuda yang menunggang motosikal di Kampung Lubuk Punggur, Simunjan hampir melanggar seekor buaya yang dipercayai tersesat di atas jalan raya ekoran kejadian air pasang yang berlaku pukul 5 petang kelmarin.

Terkejut dengan kehadiran buaya sepanjang 2.7 meter dan seberat 100 kilogram (kg) itu, pemuda tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Said, 25, terus menghubungi rakannya sambil berpesan supaya dia membawa sena­pang patah bagi menembak reptilia tersebut.

Amalan menembak mati buaya dianggap biasa di sini bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini terutama­nya pada musim banjir sekarang.

“Pada mulanya saya nampak satu objek kaku di atas jalan raya seperti sebatang kayu besar. Namun, apabila dihampiri, rupa-rupanya batang kayu itu sebenarnya seekor buaya yang tersesat,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Kosmo 24 Jan 2015

0 comments:

Post a Comment